WILAYAH - SELATAN > BERITA

Sebar Maklumat Perjawatan ATM: Beberapa Pegawai Dipanggil Polis Beri Keterangan

26/01/2026 04:25 PM

MELAKA, 26 Jan (Bernama) -- Beberapa pegawai tentera dipanggil memberi keterangan kepada polis berhubung penyebaran maklumat urusan perjawatan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di media sosial.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ia susulan laporan polis dibuat Kementerian Pertahanan (MINDEF) berhubung kebocoran maklumat itu pada minggu lepas.

“Polis telah memanggil beberapa pegawai dan sehingga kini, saya percaya polis masih lagi melakukan siasatan. Saya percaya bila siasatan selesai, tentu akan ada tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kem Terendak di Sungai Udang di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Azhan Md Othman, Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman dan Panglima 3 Divisyen Mej Jen Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad.

Mohamed Khaled bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah pegawai tentera yang dipanggil memberi keterangan kepada polis setakat ini.

Sebelum ini, MINDEF memaklumkan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat sulit berhubung urusan perjawatan strategik ATM di media sosial.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata MINDEF akan berunding dengan kerajaan berkaitan mana-mana perolehan yang boleh menjejaskan operasi ATM jika dibekukan, termasuk perolehan berkaitan kesejahteraan pegawai, anggota dan ahli keluarga mereka.

“Mana-mana yang kita rasa boleh menjejaskan operasi, seperti diucapkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kementerian boleh kemukakan untuk kita runding supaya perolehan itu boleh dijalankan.

“Kita percaya perkara yang melibatkan soal kesejahteraan, beberapa (perolehan) wajar untuk diteruskan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan