WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bekalan Ayam, Telur Dijangka Stabil Menjelang Ramadan - Mohamad Sabu

26/01/2026 01:22 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Bekalan ayam dan telur di pasaran tempatan dijangka mencukupi dan tidak berdepan sebarang masalah terutama menjelang Ramadan bulan depan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

 Beliau berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan data kementerian yang menunjukkan status kedua-dua barangan berkenaan ketika ini agak stabil di pasaran.

“Bagaimanapun, kadangkala ada beberapa faktor seperti penyeludupan yang berisiko menjejaskan bekalan di pasaran, sebab itu kita mahu semua pihak yang terlibat dan kementerian berkaitan untuk mengawal perkara ini (penyeludupan) supaya tidak berlaku.

“Selain itu, dalam soal import bekalan ayam, kementerian juga akan sentiasa memastikannya seimbang dengan pengeluaran tempatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai perancangan untuk memastikan kestabilan bekalan ayam di pasaran selain mengurangkan import ayam sebagai langkah melindungi pendapatan penternak kecil dan sederhana.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong) mengenai langkah membantu penternak kecil yang berdepan tekanan kos makanan ayam, Mohamad berkata Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian telah membangunkan bahan mentah alternatif.

Beliau berkata ia termasuk penggunaan isi rong sawit, larva Black Soldier Fly dan jagung bijirin tempatan sebagai makanan ternakan.

Mohamad berkata setakat ini, sebanyak 15 syarikat terlibat untuk inisiatif tanaman jagung bijrin tempatan, dengan kerajaan memberikan sokongan awal daripada aspek kewangan dan logistik.

Menjawab soalan asal Richard mengenai strategi kementerian untuk membantu penternak kecil beralih ke reban tertutup, Mohamad berkata transformasi berkenaan mengambil kira tahap kesiapsiagaan penternak dalam aspek infrastruktur dan logistik.

“Sehingga Disember 2025, sebanyak 19 pembiayaan bagi subsektor ternakan diluluskan dengan nilai RM62.7 juta, namun tiada subsidi disediakan bagi transformasi kepada reban tertutup,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan