WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Institusi Agama Perlu Terus Angkat Pendekatan Sederhana, Berhikmah - Raja Muda Perlis

25/01/2026 08:19 PM

KRABI, 25 Jan (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggesa institusi agama terus mengangkat pendekatan sederhana, berhikmah dan berpaksikan nilai rahmah dalam menghadapi dunia hari ini yang begitu mencabar.

Sehubungan itu, baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah penganjuran program seperti Program Ziarah Mahabbah MAIPs ke Wilayah Andaman, Selatan Thailand wajar diteruskan dan diperkasakan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah program itu platform membina persefahaman, memupuk toleransi serta mengukuhkan imej Islam sebagai agama yang membawa kedamaian, kesejahteraan dan rahmat.

“Saya ingin tegaskan nilai dan semangat terhasil daripada Program Ziarah Mahabbah tidak seharusnya terhenti di sini sahaja. Ia perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan susulan yang berterusan, komunikasi yang konsisten dan kerjasama lebih tersusun.

“Mahabbah (kasih sayang) yang sejati ialah yang melahirkan manfaat, memperkukuh perpaduan dan memberi kesan positif terhadap masyarakat,” titah baginda semasa menyempurnakan penutupan program itu yang masuk edisi ke-11 tahun ini di Dewan Sekolah Adamee Suksa Vittaya di sini hari ini.

Wilayah Andaman merangkumi Krabi, Ranong, Phuket, Phang Nga, Trang dan Satun.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengetuai rombongan ziarah itu di Krabi tahun ini yang berlangsung tiga hari bermula 23 Jan.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Program ziarah yang disertai ahli Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor antara lain memfokus kepada melestarikan kerjasama ATAM dengan kepakaran usahawan serta industri di Krabi.

Pada majlis penutup itu, Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis turut berkenan menyaksikan acara menandatangani Surat Niat (LoI) antara ATAM dengan tiga pemain industri di Krabi terdiri daripada pengusaha ladang ternakan kambing, spa dan kesihatan serta produk pelancongan komuniti termasuk batik dan kraf tangan.

LoI itu bertujuan mewujudkan jalinan kerjasama strategik dari segi perkongsian berkaitan kepakaran dan latihan, pelancongan dan kebudayaan, keusahawanan selain tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membangunkan asnaf di Perlis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan