WILAYAH - TIMUR > BERITA

Kekurangan Anggota, Beban Kerja Antara Faktor Ketirisan Di Pintu Masuk Negara - KP Imigresen

24/01/2026 10:21 AM

Oleh Muhammad Afiq Mohd Asri

KOTA BHARU, 24 Jan (Bernama) -- Kekurangan anggota, beban kerja tinggi serta ketiadaan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam dikenal pasti sebagai antara faktor yang boleh menyumbang kepada ruang berlakunya ketirisan di pintu masuk negara.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata kekurangan pegawai boleh menjejaskan keberkesanan operasi dan kawalan di kaunter pemeriksaan, sekali gus meningkatkan beban tugas harian yang berpotensi menyebabkan keletihan serta kurang fokus dalam kalangan anggota bertugas.

“Secara tidak langsung, keadaan ini boleh membuka ruang kepada ketirisan sekiranya tidak ditangani dengan berkesan.

“Imigresen sentiasa berusaha memastikan penggunaan sumber tenaga kerja di semua kaunter perkhidmatan berada pada tahap optimum bagi menjamin penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Selain aspek tenaga kerja, pemantauan berterusan melalui CCTV 24 jam turut dikenal pasti sebagai mekanisme penting dalam pencegahan, pengawasan dan kawalan kualiti perkhidmatan, khususnya di lokasi berisiko tinggi.

Beliau berkata ketiadaan sistem pemantauan berkenaan boleh menghilangkan elemen akauntabiliti, sekali gus menyukarkan pengesanan awal terhadap sebarang salah laku atau pelanggaran SOP.

Sebagai langkah proaktif, sistem pemantauan pegawai melalui CCTV telah diaplikasikan sepenuhnya di semua pintu masuk negara bermula Oktober 2024 bagi memantau pelaksanaan tugas pegawai imigresen serta membolehkan tindakan awal diambil dengan segera sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan.

“Langkah berkenaan selaras dengan komitmen jabatan itu untuk memperkukuh integriti, ketelusan dan kecekapan operasi di pintu masuk negara, sekali gus memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan bodycam atau dashcam bagi mengurangkan potensi rasuah kecil dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai dan anggota, Zakaria berkata pihaknya sememangnya telah membekalkan beberapa unit kamera badan (BWC-Body Worn Camera) bagi kegunaan pegawai di pintu masuk serta pegawai penguat kuasa.

Beliau berkata imigresen juga telah melakukan tujuh perolehan tambahan bagi BWC sebanyak 614 unit yang telah dibekalkan untuk enam pintu masuk udara, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dan KLIA Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Kota Kinabalu, LTA Kuching, LTA Bayan Lepas dan LTA Langkawi.

Penggunaan BWC ini akan membantu meningkatkan kebertanggungjawaban, ketelusan dan kepercayaan awam terhadap perkhidmatan imigresen di pintu masuk berdasarkan penggunaan serta SOP pemakaian yang ditetapkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan