WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bekas PTD Akan Didakwa Sekali Lagi, Kini Di Mahkamah Sesyen Shah Alam

23/01/2026 08:39 AM

SHAH ALAM, 23 Jan (Bernama) -- Bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan akan didakwa sekali lagi, kali ini di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, berhubung kes pengubahan wang haram.

Menerusi semakan sistem mahkamah, kes Muhammad Hafizuddeain dijangka akan disebut di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin pada 9 pagi.

Semalam, Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.12 juta.

Muhammad Hafizuddeain bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Rabu lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan Muhammad Hafizuddeain dan isterinya Salwani Anuar @ Kamaruddin, masing-masing akan didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur.

Menurut SPRM bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu turut akan didakwa dengan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen dan akta sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat, manakala isterinya akan didakwa dengan satu lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta sama di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan.

Menerusi Ops Parasit, SPRM pada 7 Jan lepas menahan seorang pegawai tinggi bersama dua isterinya berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat dan keesokan harinya pegawai itu direman selama tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman selama tiga dan enam hari.

Siasatan SPRM berkaitan kes itu bermula sejak 7 Okt 2025 dan disifatkan sebagai sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam.

Pada 23 Dis 2025, sepasukan pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan untuk memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023.

Sementara itu, pada Khamis lepas, media melaporkan 23 individu termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM ditahan SPRM, bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam selain dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Kementerian Pertahanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan