KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengenal pasti enam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi di seluruh negara mengalami kelewatan jadual setakat Disember 2025, dengan isu termasuk pengambilan balik tanah dan pencerobohan antara punca utama kelewatan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata enam projek itu ialah RTB Sungai Solok, RTB Likas, RTB Baling Fasa 2, RTB Sungai Maran, RTB Sungai Klang Seksyen 25 dan RTB Sungai Damansara.
Beliau berkata hingga Disember 2025, sebanyak 37 projek dalam pelaksanaan mengikut jadual.
“Kelewatan pelaksanaan projek RTB turut berpunca daripada keperluan pengalihan utiliti sedia ada serta kelewatan kelulusan teknikal yang melibatkan pelbagai agensi, di samping faktor cuaca ekstrem dan kejadian banjir luar biasa yang memberi kesan ketara terhadap kemajuan kerja di tapak.
“PETRA memandang serius perkara ini dan telah mengambil langkah penambahbaikan menerusi pengukuhan tadbir urus pelaksanaan projek, termasuk pemantauan kemajuan secara lebih rapi serta penstrukturan semula jadual kerja,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Fadillah menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang ingin tahu senarai projek RTB berkeutamaan tinggi yang mengalami kelewatan jadual serta penjelasan langkah mitigasi segera bagi kawasan yang masih terjejas teruk akibat kegagalan projek itu siap.
Beliau berkata kementerian turut memperketat penguatkuasaan terma kontrak termasuk tindakan terhadap kontraktor yang gagal mencapai prestasi ditetapkan, selain penyelarasan lebih intensif bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi mempercepat proses kelulusan dan penyelesaian isu di peringkat lapangan.
Sementara menunggu projek RTB itu disiapkan sepenuhnya, Fadillah berkata PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengutamakan langkah mitigasi segera jangka pendekmenerusi Projek Pemuliharaan Sungai untuk mengurangkan risiko banjir sekali gus bagi melindungi penduduk di kawasan terjejas.
“Langkah itu merangkumi kerja pengaluran sungai, penstabilan tebing serta naik taraf saluran dan struktur berkaitan. Bagi tempoh 2022 hingga 2025, peruntukan berjumlah RM556.6 juta telah disalurkan ke seluruh negara untuk melaksanakan kerja kecil berkenaan berdasarkan keutamaan kawasan berisiko tinggi yang dikenal pasti di peringkat negeri,” katanya.
Selain itu, Fadillah berkata kerajaan turut menubuhkan pasukan petugas melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta agensi berkaitan bagi menyelesaikan segera isu di lapangan yang menjadi punca kelewatan projek RTB, termasuk masalah reka bentuk oleh konsultan, pengambilan tanah serta pengalihan utiliti seperti kabel elektrik dan paip air.
Beliau berkata Johor antara negeri terawal menubuhkan pasukan petugas seumpama itu dan pendekatan berkenaan telah diperluas ke negeri lain sebagai mekanisme penyelarasan perancangan, pemantauan serta tindakan penyelesaian isu berkaitan pelaksanaan projek.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial