KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Enam individu melibatkan Orang Berinsurans (OB) dan dalang yang dipercayai bersekongkol dalam pemalsuan dokumen bagi tuntutan faedah pencen ilat, diberkas di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata tangkapan itu dilakukan hasil risikan dan siasatan menerusi Ops Stroke dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 3 Sept tahun lepas.
“Siasatan awal mendapati jumlah faedah yang dibayar akibat tuntutan palsu ini mencecah kira-kira RM220,000. Bagaimanapun, tindakan pantas Perkeso berjaya menyekat unjuran kerugian yang lebih besar.
“Jika sindiket pemalsuan dokumen ini tidak ditangani dengan segera, nilai kerugian dianggarkan menjangkau RM3.78 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Perkeso tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat integriti keselamatan sosial negara demi kepentingan peribadi.
Mohammed Azman berkata semua permohonan tuntutan Perkeso adalah percuma dan pencarum hanya perlu berurusan terus dengan Perkeso bagi mengelakkan mereka dimanipulasi ejen atau sindiket.
“Perkeso sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tiada unsur manipulasi atau penipuan berlaku dan menyeru pencarum untuk sentiasa berlaku jujur serta amanah dalam mengemukakan sebarang tuntutan.
“Sebarang cubaan untuk mengemukakan dokumen palsu bukan sahaja akan menyebabkan tuntutan ditolak, malah individu terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Mohammed Azman berkata aktiviti sindiket itu bukan sekadar mengakibatkan kerugian kewangan secara langsung malah menjadi ancaman serius terhadap kemampanan dana keselamatan sosial negara dalam jangka panjang.
Beliau berkata ketirisan dana akibat tuntutan palsu berisiko menjejaskan keupayaan Perkeso untuk menyalurkan bantuan kepada pencarum yang benar-benar layak dan memerlukan perlindungan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial