WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Had Tempoh Jawatan PM, Perkasa Bahasa Melayu Antara Tumpuan Perbahasan Dewan Rakyat

21/01/2026 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, pemerkasaan bahasa Melayu, usaha memerangi rasuah serta hala tuju pendidikan negara antara isu dibangkitkan Ahli Parlimen pada perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berkata cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri itu disifatkan sebagai langkah asas bagi memperkukuh demokrasi serta menjamin masa hadapan negara.

Beliau berkata cadangan tersebut adalah langkah melindungi institusi demokrasi serta bukti komitmen Kerajaan MADANI kepada generasi akan datang.

“Ini bukan isu kecil atau politik biasa, ini isu asas kepada demokrasi dan masa depan negara... ini adalah usaha Kerajaan MADANI melindungi demokrasi selain memberi ruang kepada rakyat menilai prestasi kepimpinan secara adil berasaskan integriti dan amanah,” katanya pada sesi itu.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata langkah itu adalah isyarat yang baik kepada rakyat kerana menunjukkan bahawa kuasa politik tidak wajar berlegar pada satu individu tanpa sempadan selain mencadangkan jawatan Perdana Menteri dengan portfolio Menteri Kewangan disandang individu berbeza.

Selain itu, Ahli Parlimen turut menekankan keperluan memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan sahaja menjadi medium pengajaran tetapi juga bahasa ilmu dan pentadbiran yang mencerminkan identiti serta kedaulatan negara.

Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mencadangkan supaya kerajaan memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan autoriti wajib yang dikembangkan di peringkat daerah sebagai badan pelaksana dan pemantau dalam usaha menjaga bahasa Melayu.

Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu) pula berkata usaha memartabatkan bahasa Melayu bukanlah satu pilihan tetapi ia adalah suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan malah selari dengan dasar pendidikan kebangsaan. 

“Ini bukan soal menafikan kepelbagaian tetapi soal kesetiaan kepada asas pembentukan negara yang kita kasihi. Penerimaan terhadap bahasa dan sejarah negara merupakan elemen penting dalam pembinaan jati diri kebangsaan dan perpaduan masyarakat.

“Malah prinsip ini punya hubung kait yang rapat dengan isu kewarganegaraan penguasaan bahasa kebangsaan dan pengetahuan sejarah bukan sekadar syarat teknikal tetapi kayu ukur utama bagi menilai kelayakan serta kesetiaan tidak berbelah bahagi seseorang kepada Malaysia,” katanya.

Isu pendidikan turut dibangkitkan Ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) yang antara lain berharap pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 perlu disertai penyelarasan lebih kemas antara kementerian bagi menjamin keseragaman hala tuju sistem pendidikan negara.

Saifuddin berkata meskipun pelancaran rancangan itu satu langkah penting ke arah reformasi pendidikan, namun perancangan lebih bersepadu antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) perlu diberi perhatian bagi memastikan dasar digariskan saling melengkapi.

Beliau menyambut baik pendekatan baharu model universiti empat kuadran, yang memberi ruang kepada universiti awam beroperasi secara lebih fleksibel mengikut kapasiti dan tahap kesiapsiagaan masing-masing, termasuk melalui perubahan marginal, adaptif dan radikal.

“Pendekatan itu berpotensi memperkukuh daya saing institusi pengajian tinggi tempatan serta menyokong keperluan ekonomi dan industri masa depan sekiranya dilaksanakan secara konsisten dan berpandukan kajian rapi,” katanya.

Beliau turut berharap cadangan pelaksanaan peperiksaan Tahun Empat yang diumumkan di bawah pelan KPM dapat diperhalusi dari segi pendekatan dan pelaksanaannya termasuk sukatan pembelajaran agar selari dengan matlamat membangunkan potensi pelajar secara menyeluruh, bukan sekadar berorientasikan peperiksaan.

Isu rasuah terus mendapat perhatian Dewan Rakyat apabila beberapa Ahli Parlimen antaranya Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) dan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang senada mahu setiap kes melibatkan jenayah itu disiasat dengan telus tanpa mengira pangkat, darjat dan individu terlibat.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan