WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Saksi Terima Maklumat Mengenai Syarikat Pelancongan Daripada Azlan Man 

21/01/2026 05:47 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Saksi utama pendakwaan kes membabitkan Datuk Seri Azlan Man memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau menerima maklumat mengenai syarikat Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd (SKTT) daripada bekas Menteri Besar Perlis itu.

Bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Azlan, Herwadey Hashim, 45, berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat pada perbicaraan kes Azlan yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.

Herwadey berkata Azlan memberinya nombor telefon pemilik syarikat terbabit iaitu Shafie Ismail (saksi pendakwaan ke-10) untuk urusan lawatan Azlan ke luar negara.

"Pada mulanya saya difahamkan Encik Shafie adalah pemilik syarikat Sri Kedawang, tetapi kemudiannya saya dapat maklumat, beliau (Shafie) adalah pegawai di agensi tersebut (SKTT)," katanya.

Pada 3 Dis lepas, Herwadey memberitahu mahkamah bahawa Azlan mencadangkan SKTT bagi urusan ke luar negara kerana beliau sendiri (Azlan) telah beberapa kali mengikuti lawatan diuruskan oleh syarikat berkenaan semasa berkhidmat di Wisma Putra dan perkhidmatan yang diberikan syarikat itu amat baik.

Saksi pendakwaan ke-18 itu berkata sudah menjadi amalan apabila permohonan percutian seberang laut Menteri Besar dibuat secara bertulis daripada Pejabat Menteri Besar Perlis kepada Bahagian Khidmat Pengurusan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan beliau merujuk perkara itu berdasarkan fail Menteri Besar terdahulu.

Noralis: Kamu (Herwadey) bersetuju dengan peguam bahawa kelulusan local order (pesanan kerajaan) dan bayaran kepada syarikat pelancongan adalah sah. Apa yang kamu maksudkan tentang kelulusan dan pembayaran adalah sah?

Herwadey: Bayaran daripada Setiausaha Kerajaan Negeri kepada pihak pembekal kerana semua dokumen teratur serta mengikut prosedur.

Sementara itu, Herwadey bersetuju dengan peguam Ramli Shariff mewakili Azlan bahawa beliau yang menguruskan tuntutan percutian seberang laut Azlan dari 2013 hingga 2017, bermula daripada penyediaan memo sehingga pengeluaran wang.

Herwadey juga bersetuju dengan peguam itu bahawa dari segi amalan, tindakan saksi itu menguruskan percutian seberang laut Azlan adalah sah dan tidak menyalahi undang-undang.

Azlan, 67, didakwa atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis antara Disember 2013 dan Disember 2017.

Tuntutan itu melibatkan sebut harga tiket penerbangan ke London serta invois daripada syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azlan juga berdepan lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017 di beberapa lokasi termasuk cawangan Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Selain itu, beliau didakwa atas lima pertuduhan pilihan kerana menyalahgunakan wang RM1.06 juta milik Kerajaan Negeri Perlis yang dibayar kepada Sri Kedawang Travel dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, CIMB Bank Cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di sini antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun, dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 31 Mac ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan