WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Laksamana Madya Sabri Zali Saman Chegubard Berhubung Isu Salah Guna Kuasa, Rasuah

21/01/2026 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Laksamana Madya Datuk Sabri Zali telah memfailkan saman fitnah terhadap aktivis politik Badrul Hisham Shaharin, atau lebih dikenali sebagai Chegubard, atas dakwaan mengaitkan beliau dengan isu salah guna kuasa dan rasuah.

Peguam Muhamad Firdaus Jumaludin, yang mewakili Sabri selaku plaintif, berkata saman itu difailkan hari ini di Mahkamah Tinggi di sini berikutan tiada respons daripada pihak Chegubard berkaitan surat tuntutan agar beliau menurunkan segala pernyataan fitnah yang telah dibuat.

"Pernyataan-pernyataan itu adalah tidak benar, mengelirukan dan berbaur fitnah menyebabkan kerosakan reputasi serius terhadap plaintif yang tidak boleh dipulihkan melalui penjelasan awam semata-mata.

"Laksamana Madya Datuk Sabri tidak pernah didakwa, disabitkan atau didapati bersalah atas sebarang kes rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku seperti dinyatakan oleh defendan dalam kes ini... dakwaan ini adalah tidak benar dan boleh memesongkan persepsi orang ramai terhadap sumbangan beliau sebagai pegawai kanan tentera," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, sekitar Julai 2024 hingga Disember 2025, defendan didakwa menerbitkan secara berulang pelbagai kenyataan bertulis, visual dan rakaman video di media sosial yang menuduh plaintif sebagai seorang pegawai kanan tentera yang kononnya terlibat dalam rasuah, salah guna kuasa, tidak berintegriti serta tidak layak memegang jawatan kepimpinan tertinggi ATM.

Sabri, yang juga Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional, berkata kesemua tuduhan itu adalah palsu, tidak berasas dan bersifat fitnah, dibuat tanpa sebarang keputusan mahkamah, pendakwaan atau pengesahan rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau mana-mana pihak berautoriti. 

Menurut plaintif, Chegubard sendiri mengakui bahawa dakwaan itu bersumberkan dokumen yang diperoleh daripada pihak yang tidak dikenali, tanpa sebarang proses pengesahan atau verifikasi yang sah.

Plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu telah disiarkan secara meluas dan berulang sehingga menimbulkan persepsi awam bahawa beliau adalah seorang pegawai kanan tentera yang korup, tidak amanah serta menjadi ancaman kepada keselamatan dan kepentingan strategik negara. 

Beliau mendakwa Chegubard juga secara terbuka mengakui niatnya untuk menggagalkan pelantikan plaintif sebagai Panglima Tentera Laut sekali gus membuktikan bahawa penerbitan itu dibuat dengan niat jahat dan bukan demi kepentingan awam.

Akibat penyiaran fitnah itu, Sabri mendakwa reputasi, maruah, kredibiliti profesional serta integritinya telah terjejas dan oleh itu, beliau menuntut pengisytiharan bahawa kenyataan-kenyataan tersebut adalah fitnah, perintah mahkamah supaya penerbitan lanjut dihentikan serta ganti rugi yang wajar atas kerosakan reputasi dan penderitaan yang dialami.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan