WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ancaman Tonto Tidak Halang Penguatkuasaan JPJ Terhadap Kenderaan Lebih Muatan - Loke

21/01/2026 03:10 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Kerajaan tidak akan tunduk terhadap sebarang ancaman daripada tonto atau orang tengah yang memberikan maklumat untuk menggagalkan tugas penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika menjalankan operasi membanteras kenderaan berat lebih muatan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perkara itu sekali gus mendorong Kementerian Pengangkutan memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan untuk melengkapkan anggota penguat kuasa dengan kamera badan dan senjata api bagi mempertahankan diri mereka.

“Memang ada cabaran daripada tonto ini, tetapi sudah tentu kita tidak boleh tunduk kepada ancaman tersebut untuk menguatkuasakan undang-undang kerana melibatkan keselamatan jalan raya dan nyawa manusia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) berhubung cabaran penguatkuasaan kes lebihan muatan, termasuk dakwaan wujud tonto serta sama ada sistem mata demerit ketika ini masih digunakan.

Mengulas lanjut, Loke berkata sistem mata demerit masih digunakan, namun akan dirombak bagi memastikan sistem itu lebih berkesan dan adil kepada pemandu yang dipaksa oleh pengusaha untuk membawa muatan berlebihan.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan tidak lagi tertumpu kepada pemandu semata-mata, sebaliknya turut menyasarkan syarikat dan pengusaha yang melanggar peraturan.

“Bukan setakat pemandu didenda, kalau mana-mana syarikat yang terlibat dengan isu lebih muatan ini, kita akan menggantung pemilikan kenderaan dan lesen operasi juga boleh dibatalkan kalau mereka tetap melanggar peraturan ini beberapa kali,” katanya.

Menjawab soalan asal Cha Kee Chin (PH-Rasah) tentang penguatkuasaan operasi khas JPJ pada suku keempat 2025, Loke berkata sebanyak 3,604 kenderaan berat telah dikesan dan diambil tindakan kerana membawa muatan melebihi had dibenarkan bagi tempoh 14 Okt hingga 31 Dis tahun lepas.

Beliau berkata pecahan lebihan muatan itu merangkumi beberapa kategori, termasuk kenderaan dalam julat lebihan serius hingga 70 peratus ke atas, sekali gus berpotensi menjejaskan keselamatan jalan raya, kestabilan kenderaan, fungsi brek dan ketahanan infrastruktur.

“Data awal PDRM (Polis Diraja Malaysia) menunjukkan sebanyak 232 kes kemalangan maut melibatkan kenderaan berat direkodkan pada 2023 dan meningkat kepada 260 kes pada 2024, sebelum menurun kepada 163 kes pada 2025.

“Statistik ini merangkumi kemalangan maut yang melibatkan lori, treler dan kenderaan barangan berat, tanpa mengambil kira sama ada kenderaan terbabit merupakan punca utama atau sekadar pihak yang terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Loke berkata penurunan terbabit memberikan gambaran awal bahawa langkah penguatkuasaan yang diperkukuh terhadap pematuhan keselamatan kenderaan berat, termasuk kawalan muatan telah menyumbang kepada pengurangan risiko kemalangan maut di jalan raya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan