WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kekurangan Dana Jejas Pendidikan Kanak-kanak Di Kem Pelarian Sempadan Thailand-Myanmar

20/01/2026 06:23 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 20 Jan (Bernama) -- Akses pendidikan bagi kanak-kanak yang tinggal di kem-kem pelarian sepanjang sempadan Thailand-Myanmar kini berada pada "tahap kritikal" berikutan peningkatan jumlah pelajar di tengah-tengah penyusutan bantuan asing, menurut sebuah organisasi antarabangsa hari ini.

Save the Children Thailand mendedahkan bahawa masalah kesesakan bilik darjah, kekurangan bahan pembelajaran, dan kemerosotan bantuan kemanusiaan sejak awal tahun lepas menjadi isu mendesak di kemudahan dalam kem berkenaan.

Dianggarkan seramai 90,000 penduduk di sepanjang sempadan Thailand dan Myanmar turut berdepan krisis kekurangan makanan serta akses perubatan yang terhad berikutan penutupan klinik selepas dana bantuan mula berkurangan.

"Pendidikan di kem-kem sepanjang sempadan Thailand-Myanmar kini di tahap kritikal. Pendidikan mampu menyelamatkan nyawa dan pastinya mengubah masa depan, itulah sebabnya kita harus secara kolektif menyalurkan sumber ke arah pendidikan," kata Pengarah Eksekutif Save the Children Thailand, Guillaume Rachou dalam satu kenyataan media hari ini.

Dapatan berkenaan adalah berdasarkan tinjauan “Education on the Edge: Access to Education for Conflict-displaced and Migrant Children along the Thailand-Myanmar Border" yang diterbitkan bulan ini.

Tinjauan itu menunjukkan sembilan buah kem terjejas teruk akibat pengurangan pembiayaan antarabangsa.

Golongan pelajar dan kanak-kanak dalam usia persekolahan membentuk 30 peratus daripada keseluruhan penduduk kem berkenaan.

Jumlah pelajar di kem berkenaan meningkat sebanyak 33 peratus, daripada kira-kira 18,000 pada 2020 kepada sekitar 24,000 tahun lepas, sebahagian besarnya berpunca daripada konflik dan ketidakstabilan yang semakin meruncing di Myanmar.

Bilangan penduduk yang melarikan diri dari Myanmar terus meningkat secara mendadak sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, yang mencetuskan krisis politik selepas kerajaan awam digulingkan.

Menurut kenyataan itu lagi, bilik darjah di pusat pembelajaran migran sering sesak dengan sesetengahnya menampung sehingga 60 pelajar pada satu-satu masa. Selain itu, guru-guru turut mengadu tentang kekurangan serius sumber pembelajaran termasuk buku teks serta peralatan sains dan teknologi maklumat (IT).

Banyak pusat pembelajaran yang dikendalikan untuk keluarga migran juga beroperasi di atas tanah sewaan, menyebabkan mereka tidak mempunyai jaminan keselamatan. Guru-guru pula berdepan kekangan undang-undang kerana dilarang memegang lesen mengajar, sekali gus menjejaskan pengiktirafan profesional mereka, menurut kenyataan itu.

"Kami sedia maklum bahawa kem-kem ini beroperasi dengan sumber yang terhad, bilik darjah sesak dan kekurangan guru terlatih serta bahan pembelajaran, meskipun enrolmen meningkat sejak kebelakangan ini susulan konflik baharu di Myanmar," kata Rachou.

Sejak berpuluh tahun, Thailand menjadi tempat perlindungan bagi warga Myanmar yang melarikan diri akibat konflik dalaman di negara mereka.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan