WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Persatuan Muslim India Kelantan Bimbing Lebih 50 Mualaf Dalami Islam Sejak 2023

18/01/2026 03:57 PM

KOTA BHARU, 18 Jan (Bernama) -- Persatuan Muslim India Kelantan (PMIK) telah membimbing lebih 50 mualaf atau saudara baharu daripada kaum India untuk mendalami ajaran Islam sejak 2023, kata pengerusinya Mohamed Sultan Oli Mohamed.

Beliau berkata kebanyakan mualaf datang dari luar Kelantan yang berhijrah ke negeri itu bagi memulakan kehidupan baharu sebagai Muslim.

"Sebahagian besar mereka datang tanpa sokongan keluarga, malah ada yang terpaksa meninggalkan tempat tinggal asal selepas memeluk Islam, menyebabkan mereka memerlukan bantuan segera meliputi tempat tinggal, makanan, kebajikan serta bimbingan agama," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohamed Sultan berkata dalam kes tertentu, pihaknya turut menyediakan tempat tinggal sementara, menanggung makan minum, membantu mendapatkan pekerjaan serta membayar deposit sewaan rumah sehingga mereka benar-benar stabil atau mampu berdikari.

Beliau berkata pendekatan persatuan itu bukan sekadar membantu pada peringkat awal pengislaman, tetapi juga memberi sokongan berterusan supaya mualaf dapat membina keyakinan diri.

"Selain itu, kita turut membantu golongan miskin dan memerlukan tanpa mengira kaum khususnya dalam kes kecemasan termasuk masalah kesihatan, bantuan pendidikan anak-anak dan bencana seperti banjir.

"PMIK kini mempunyai 250 ahli berdaftar dan bergerak aktif dengan pelbagai program. Kita memerlukan kos operasi kira-kira RM70,000 setahun yang diperoleh sepenuhnya melalui sumbangan korporat dan derma orang ramai, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta kerajaan negeri tanpa peruntukan tetap," katanya.

Mohamed Sultan berkata dana yang diterima itu digunakan untuk kebajikan saudara baharu, bantuan kecemasan, penginapan sementara, makanan, kos perjalanan, pendidikan agama serta sokongan asas untuk mereka memulakan kehidupan baharu.

"Saya harap lebih banyak pihak termasuk syarikat korporat, institusi zakat dan orang ramai tampil menyalurkan sumbangan bagi memastikan PMIK dapat terus memainkan peranan sebagai pusat sokongan penting kepada mualaf dan golongan memerlukan di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan