WILAYAH - TENGAH > BERITA

PGA Rampas 168 Bahagian Ekor Buaya Bernilai RM20,000 Di Kampar

17/01/2026 07:41 PM

IPOH, 17 Jan (Bernama) -- Pasukan Gerak Am (PGA) merampas 168 bahagian hidupan liar disyaki ekor buaya bernilai RM20,000 dalam serbuan di sebuah premis barangan sejuk beku di Kampar semalam.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Balveer Singh berkata seorang lelaki tempatan berusia 30-an turut ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan bagi membongkar kegiatan mengeksploitasi bahagian hidupan liar itu.

“Operasi pada 4 petang itu turut disertai Polis Diraja Malaysia, PGA dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua bahagian hidupan liar itu dipercayai diperoleh daripada sebuah syarikat pembekal yang beroperasi di Puchong, Selangor sebelum diagihkan kepada restoran-restoran di sekitar Kampar mengikut permintaan,” katanya dalam kenyataan.

Balveer berkata premis perniagaan berkenaan dipercayai telah menjalankan kegiatan ini sejak 2024.

Beliau berkata suspek telah diserahkan kepada Perhilitan Perak dan kes disiasat di bawah Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan