WILAYAH - TENGAH > BERITA

Yada, Brittany Ungguli Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa SportExcel

17/01/2026 07:47 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Pemain Jepun, Kenshi Yada muncul juara keseluruhan kategori lelaki pada Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa SportExcel yang berakhir di Kelab Golf & Country Glenmarie, Shah Alam, semalam.

Yada mempamerkan aksi konsisten apabila mencatat pusingan 70, 69, dan 66 pukulan untuk jumlah keseluruhan 205 pukulan, sekali gus muncul juara dengan kelebihan selesa meninggalkan pencabar terdekat.

Wakil negara Liew Connor Axel Kai menceriakan peminat tempatan apabila menamatkan saingan di tempat kedua dengan jumlah 216 pukulan hasil pusingan 72, 73 dan 71 diikuti pemain Jepun, Daichi Hayashi menerusi kiraan balik meskipun turut mencatat jumlah 216 pukulan (72, 72, 72).

Dalam kategori perempuan, pemain Filipina hampir menyapu bersih gelaran keseluruhan apabila Brittany Pauline Tamayo mencuri tumpuan dengan merangkul kejuaraan hasil jumlah 222 pukulan selepas mencatat pusingan 76, 73 dan 73.

Rakan senegaranya Lisa Angeles Sarines menamatkan kejohanan di tempat kedua juga menerusi kiraan balik dengan jumlah 222 pukulan (71, 77, 74), manakala wakil Malaysia, Nur Batrisyia Balqis berada di tempat ketiga dengan 224 pukulan (75, 75, 74).

Sementara itu, Filipina turut dinobatkan juara kategori berpasukan selepas mengumpul keseluruhan 655 pukulan sepanjang tiga hari kejohanan. Thailand dan Malaysia masing-masing menamatkan saingan di tempat kedua dan ketiga dengan 658 dan 661 pukulan.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula Rabu lalu itu menyaksikan 112 pemain muda tempatan dan antarabangsa dari 11 negara mengambil bahagian dalam beberapa kategori umur bagi lelaki dan perempuan bermula seawal sembilan hingga 21 tahun.

 

KEPUTUSAN:

KESELURUHAN:

LELAKI:

205 - Kenshi Yada (JPN) 70-69-66

216 - Liew Connor Axel Kai (MAS) 72-73-71; Daichi Hayashi (JPN) 72-72-72

217 - Muhammad Afham (MAS) 71-71-75; Vito Angeles Sarines (PHI) 75-65-77

PEREMPUAN

222 - Brittany Pauline Tamayo (PHI) 76-73-73; Lisa Angeles Sarines (PHI) 71-77-74

224 -  Nur Batrisyia Balqis (MAS) 75-74-74; Mona Angeles Sarines (PHI) 74-73-77

226 - Jamie Tan Huan Ying (MAS) 78-74-74

BERPASUKAN: 1. Filipina (655); 2. Thailand (658); 3. Malaysia (661).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan