WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PLKN: Pendaftaran Sebahagian Pelatih Di Kem 505 Pekan Ditangguhkan, Elak Lebih Kapasiti

17/01/2026 08:59 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Pendaftaran sebahagian pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 1/2026 di Kem Latihan Khidmat Negara 505 Askar Wataniah (AW), Pekan, Pahang hari ini ditangguhkan susulan kehadiran pelatih melebihi kapasiti maksimum pusat latihan berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Ya’cob Samiran berkata keputusan itu bukanlah satu penolakan, sebaliknya langkah penyelarasan operasi bagi memastikan setiap pelatih mendapat pengalaman latihan yang terbaik dan kondusif.

Beliau berkata JLKN memohon maaf atas sebarang kesulitan dan kekalutan yang timbul semasa proses pendaftaran hari ini serta berterima kasih di atas sokongan yang menggalakkan daripada ibu bapa dan penjaga. 

“Kita tidak menyangka jumlah yang hadir hari ini melebihi daripada kapasiti yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, demi memastikan kualiti latihan, keselesaan penginapan serta aspek keselamatan pelatih terjaga, JLKN terpaksa mengambil keputusan berat untuk menangguhkan pendaftaran sebahagian pelatih.

“Kami memohon mereka untuk pulang ke kediaman masing-masing (Return to Unit) buat sementara waktu disebabkan kekangan kapasiti kem yang tidak mampu menampung lebihan ini. Pelatih yang dibenarkan pulang hari ini boleh membuat tuntutan perjalanan mengikut garis panduan dan peraturan sedia ada yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PLKN 3.0 Siri 1 2026 bermula hari ini hingga 3 Mac di dua kem AW, iaitu Rejimen 515 (AW) Kuala Lumpur dan Rejimen 505 (AW) Pekan, Pahang. Sebanyak empat siri latihan PLKN 3.0 dijadualkan sepanjang 2026. 

Ya'cob berkata berdasarkan trend siri-siri sebelum ini, peratusan kehadiran yang tidak mencukupi atau no-show sering berlaku, justeru langkah “pengurusan ruang” atau overbooking telah diambil bagi memastikan setiap slot latihan diisi sepenuhnya demi manfaat anak bangsa.

Namun, beliau berkata kehadiran pada siri kali ini amat luar biasa dan di luar jangkaan, sekali gus membuktikan bahawa program PLKN 3.0 kini mendapat tempat yang cukup istimewa di hati masyarakat.

“Sebagai tanda tanggungjawab dan komitmen JLKN terhadap kebajikan para pelatih yang terkesan, (mereka) akan diberikan keutamaan penuh untuk kemasukan bagi pengambilan kedua yang akan datang tanpa perlu melalui proses pemilihan semula. 

“JLKN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa bangga atas semangat luar biasa yang ditunjukkan para belia serta sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa sempena pendaftaran PLKN Siri 1/2026 yang berlangsung hari ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JLKN Ahmad Kham Abu Kassim ketika ditemui pemberita di Kem 505 AW, Pekan berkata lebihan kapasiti berlaku berikutan beberapa faktor antaranya mereka tidak mengesahkan kehadiran dan ada juga yang datang secara sukarela untuk mencuba nasib.

“Justeru, beberapa penambahbaikan mungkin akan dilaksanakan bagi mengelak perkara sama berulang antaranya mengasingkan pendaftaran hari pertama untuk pelatih kerahan wajib manakala bagi sukarelawan akan dibuat pada hari kedua,” katanya. 

Kem berkenaan menyediakan kapasiti bagi 500 pelatih lelaki dan anggaran individu yang hadir serta ditangguhkan kemasukan mencecah ratusan orang. 

Tinjuan Bernama di kem itu mendapati terdapat ibu bapa yang tidak berpuas hati selepas kemasukan anak mereka sebagai pelatih PLKN Siri 1/2026 ditangguhkan.

Seorang bapa Rozaidi Md Isa, 56, berkata beliau telah mendaftarkan anaknya sebagai pelatih sukarela program itu lebih awal, namun jawapan yang diterima setelah sampai di kem terbabit menghampakan berikutan pendaftaran ditolak kerana kem telah penuh.

Yuslizar Razali, 42, pula berkata anaknya gagal mendaftar kemasukan walaupun telah dipanggil menyertai PLKN secara wajib kerana kem berkenaan telah mencecah kapasiti maksimum. 

Bagi Mohd Safari Nahari, 19, dari Shah Alam yang ingin mendaftar sebagai pelatih sukarela mengakui kecewa dengan situasi berkenaan, namun terpaksa akur dengan keputusan penangguhan pendaftaran berkenaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan