WILAYAH - UTARA > BERITA

175 Thaneer Panthal Warnai Thaipusam Pulau Pinang, Keselesaan Jadi Keutamaan

17/01/2026 12:35 PM

Oleh R. Ratcharathan

GEORGE TOWN, 17 Jan (Bernama) -- Setiap kali menjelang Thaipusam, Pulau Pinang akan menjadi tumpuan apabila menyatukan jutaan penganut Hindu dan pelancong dalam satu perayaan yang sarat dengan tradisi, spiritualiti dan keharmonian budaya.

Berbaki 14 hari lagi menjelang sambutan pada 1 Feb ini, Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) giat membuat persiapan rapi dengan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan, keselesaan serta kelancaran pergerakan di sekitar Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga.

Lebih satu juta penganut Hindu dijangka membanjiri kuil yang dikenali Thaneer Malai itu, menjadikan perancangan teliti amat penting bagi memastikan perayaan berlangsung dengan teratur, selamat dan kekal berteraskan nilai kerohanian.

Dalam temubual eksklusif bersama Bernama, Pengerusi LWHPP RSN Rayer berkata antara penambahbaikan utama tahun ini ialah pengenalan permit khas bagi mereka yang membawa Ratham Kavadi, iaitu kavadi bersaiz besar menyerupai pedati kecil, yang lazimnya ditarik beberapa individu.

Beliau berkata sistem permit itu bertujuan menyusun masa kemasukan kavadi agar pergerakan lebih terkawal dan tidak menjejaskan keselamatan penganut lain, khususnya pada waktu malam yang menjadi kemuncak kehadiran orang ramai.

"Kita cuba untuk menyelenggara agar mereka tidak datang pada masa sama kerana risau ia boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas seperti tahun lepas, ada insiden apabila kemasukan kavadi ini lebih kurang 7 hingga 8 malam, kesesakan terlalu teruk hingga menyebabkan satu gridlock," katanya di Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani.

Seiring dengan keprihatinan terhadap golongan berisiko, Rayer berkata LWHPP turut menggalakkan warga emas, pesakit kronik dan orang kelainan upaya (OKU) menunaikan sembahyang serta nazar lebih awal, iaitu seminggu sebelum hari kemuncak Thaipusam bagi membantu mengurangkan kesesakan pada hari utama sekali gus mereka dapat menunaikan ibadah dalam keadaan lebih selesa serta selamat.

Dari segi kesiapsiagaan kecemasan, beliau berkata beberapa unit ambulans akan ditempatkan di kawasan kuil, selain pasukan bomba, doktor serta pegawai perubatan sukarela yang bersiap siaga di khemah rawatan berhampiran kuil yang memiliki 513 anak tangga itu.

Rayer memaklumkan tahun ini, sebanyak 175 Thaneer Panthal atau gerai dihias indah didirikan sepanjang laluan menuju ke kuil atas bukit itu, yang merupakan elemen tarikan sambutan Thaipusam di Pulau Mutiara itu diluluskan, meningkat berbanding sekitar 155 pada tahun lepas.

Namun begitu, beliau mengingatkan pengurusan panthal supaya hanya memainkan lagu keagamaan, menghentikan muzik sepenuhnya pada 11 malam 1 Feb, serta mematuhi larangan terhadap lagu hiburan, mercun, bunga api dan pengambilan minuman keras.

Mengenai pergerakan pedati emas milik LWHPP dan pedati perak milik Kuil Nattukotai Chettiar, Rayer berkata kedua-dua pihak kini dalam perbincangan bagi menyelaraskan pergerakan supaya berjalan secara tersusun dengan satu mendahului dan satu mengikuti, tanpa sebarang konflik.

“Kedua-dua pedati itu akan keluar pada masa sama dengan meninggalkan pekarangan Kuil Nagarathar Kovil Veedu bagi pedati perak dan Kuil Maha Mariamman di Lebuh Queen bagi pedati emas pada 5 hingga 5.30 pagi.

"Perkara penting perlu saya nyatakan adalah dibandingkan dahulu, sekarang kita ada persefahaman, dengan dua pihak ini akan berbincang dan bekerjasama untuk menyelenggarakan pergerakan pedati supaya tidak ada sebarang perbalahan seperti pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong berkata lebih 250 hingga 300 sukarelawan akan digerakkan sepanjang tempoh sambutan Thaipusam, termasuk pasukan belia kuil di kawasan atas dan bawah, serta pasukan khas yang ditubuhkan bagi memantau sebarang insiden melibatkan kavadi.

Sambutan di Pulau Pinang lebih unik dengan disambut sehari awal sebelum Thaipusam yang dikenali sebagai Chetti Pusam, iaitu perarakan oleh komuniti Chettiar di negeri itu dengan membawa kavadi burung merak bersama perarakan pedati perak.

Sejak 2017, sambutan di negeri ini turut diserikan dengan kemunculan pedati emas yang membawa ‘vel’ (lembing), senjata suci Dewa Murugan dan sepanjang perjalanan perarakan kedua-dua pedati tersebut, kelapa dipecahkan sebagai ritual keagamaan.

Thaipusam di Pulau Mutiara juga terkenal dengan deretan Thaneer Panthal yang bukan sahaja dihias indah, malah mengagihkan makanan vegetarian dan minuman secara percuma kepada penganut.

Penganut Hindu akan menyambut Thaipusam pada 1 Feb ini bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya, Dewi Parvati, bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan