KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertahanan kini sedang mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut berhubung arahan pembekuan sementara keputusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya juga akan meneliti perincian pelaksanaannya selaras dengan kerangka tadbir urus, peraturan kewangan dan perundangan yang berkuat kuasa.
Beliau berkata kementerian akur arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembekuan sementara keputusan perolehan yang berkaitan dengan isu rasuah.
“Dalam meneliti perkara ini, Kementerian Pertahanan sewajarnya perlu memberi pertimbangan serius terhadap keperluan memastikan tahap kesiapsiagaan serta kelangsungan operasi pertahanan negara kekal terpelihara dan tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan menerusi X hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, pada masa sama, pihaknya akan menilai secara mendalam implikasi keputusan ini terhadap pelaksanaan perolehan sedia ada, termasuk kontrak yang telah dimeterai, dengan mengambil kira obligasi kontrak sedia ada, keperluan operasi semasa serta kepentingan keselamatan negara secara menyeluruh.
“Sebagaimana yang diumumkan awal minggu ini, Kementerian Pertahanan juga sedang meneliti langkah-langkah penambahbaikan proses perolehan bagi memperkukuh tadbir urus serta mengelakkan sebarang ketirisan pada masa hadapan,” katanya.
Hari ini, Perdana Menteri mengarahkan semua keputusan perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Beliau berkata kerajaan melalui kementerian terlibat akan meneliti dan menyusun semula semua perolehan bagi memastikan ketelusan sistem sedia ada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial