KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Sayang Green 2026, inisiatif lestari yang menggalakkan amalan hijau yang ringkas dan praktikal dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia, dilancarkan di sebuah pusat beli-belah, di sini hari ini.
Program tiga hari yang berlangsung hingga Ahad ini, dianjurkan oleh 180 Degrees Brandcom dan mengguna pakai pendekatan yang menjadikan kelestarian lebih mudah diakses, mampu milik serta selari dengan rutin harian masyarakat, khususnya menerusi perubahan kecil dalam tabiat seharian.
Pengasas 80 Degrees Brandcom dan pencetus Sayang Green, Chan Fong berkata inisiatif itu diwujudkan untuk mengalihkan perbincangan tentang kelestarian daripada sekadar kesedaran, kepada tindakan yang boleh dimulakan sekarang.
"Kelestarian bukan lagi isu terpencil, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada realiti harian kita. Sayang Green diwujudkan untuk menjadikan gaya hidup hijau sesuatu yang boleh dilakukan.
"Hal ini bukan tentang mengubah segala-galanya dalam sekelip mata, tetapi juga memperkasakan masyarakat untuk bermula dengan perubahan mudah yang sesuai secara semula jadi dengan kehidupan seharian rakyat Malaysia," katanya pada majlis pelancaran inisiatif itu di sini hari ini.
Beliau berkata tumpuan utama Sayang Green adalah untuk menunjukkan bahawa perubahan kecil dalam tabiat harian seperti amalan guna semula, pengurangan sisa dan pilihan penggunaan yang lebih bertanggungjawab, mampu memberikan kesan bemakna kepada alam sekitar apabila dilakukan secara konsisten.
Chan berkata pendekatan praktikal itu penting kerana cabaran kelestarian semakin berkait rapat dengan kehidupan seharian termasuk isu sisa plastik, pencemaran dan tekanan terhadap alam sekitar yang tidak lagi terasing, tetapi menjejaskan masyarakat secara langsung.
Pada majlis itu, Sayang Green 2026 menerima pengiktirafan daripada ASEAN Records atas penerapan prinsip kelestarian secara konsisten dan menyeluruh, merangkumi perancangan, reka bentuk dan pelaksanaan acara di zon fungsian.
Program ini turut melibatkan kerjasama dengan rakan strategik termasuk Alliance Bank Malaysia Berhad, sejajar dengan usaha untuk mempromosikan amalan kelestarian yang boleh diguna pakai secara meluas dalam kehidupan seharian masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank Malaysia Berhad Gan Pai Li berkata kelestarian paling berkesan apabila ia diintegrasikan dengan lancar dalam gaya hidup serta perbankan harian masyarakat.
“Sebagai The Bank For Life, kami menumpukan usaha untuk menjadikan pilihan lestari lebih praktikal dan mudah diakses dalam perbankan harian melalui inovasi dan teknologi. Penyelesaian seperti Kad Kredit Maya membantu mengurangkan kebergantungan pada kad plastik dan kertas selain memberikan pengalaman pembayaran yang lebih lancar dan selamat kepada pelanggan.
“Melalui kerjasama dengan organisasi yang sehaluan, kami berasa bangga dapat memainkan peranan dalam membantu rakyat Malaysia mengamalkan amalan lestari dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.
Sebagai rakan utama inisiatif Sayang Green, Alliance Bank Malaysia Berhad menyokong program ini melalui penggunaan Kad Kredit Maya yang dapat memupuk sikap lebih mesra alam dalam kehidupan harian.
Ini dilakukan dengan menghapuskan keperluan kad plastik fizikal sekali gus membantu mengurangkan penggunaan bahan dan pelepasan karbon yang berkaitan, serta mengekalkan cara mudah dan selamat bagi pengguna menguruskan perbelanjaan harian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial