KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Kesalahan tinggal lebih masa mencatat jumlah pendakwaan tertinggi di mahkamah membabitkan warga asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur tahun lepas.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata sebanyak 2,092 pendakwaan telah dilakukan terhadap warga asing ditahan, dengan 1,342 daripada melibatkan kesalahan tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata kesalahan lain yang kerap didakwa ialah tiada dokumen perjalanan atau ‘kosong’ melibatkan 663 kes, manakala melindungi pendatang tanpa izin sebanyak 34 kes.
“Lain-lain kesalahan didakwa di mahkamah termasuk melanggar syarat pas, memiliki dokumen perjalanan milik orang lain, dan kepulangan haram,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Wan Mohammed Saupee berkata pada tempoh sama, JIM Kuala Lumpur turut menahan 4,428 pendatang tanpa izin menerusi 701 operasi penguatkuasaan yang dijalankan.
“Tangkapan tertinggi antaranya membabitkan warganegara Indonesia sebanyak 1,288 orang, Bangladesh (944 orang), Myanmar (878 orang), Pakistan (431 orang) dan India (164 orang).
“Lain-lain warganegara ditahan termasuk dari Filipina, Kemboja, Nepal, Thailand, China, Vietnam dan lain-lain warganegara termasuk individu tiada kewarganegaraan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya akan menjalankan operasi penguatkuasaan dan pemantauan secara berterusan bagi memastikan masalah pendatang tanpa izin di ibu negara terkawal.
Wan Mohammed Saupee berkata pihaknya tidak berkompromi dengan warga asing yang melanggar peraturan negara, manakala warga tempatan yang melindungi pendatang tanpa izin akan dikenakan tindakan tegas di mahkamah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial