PUTRAJAYA, 9 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memberi tumpuan kepada perolehan aset strategik, pembangunan infrastruktur serta penerapan teknologi moden susulan lonjakan peruntukan Belanja Pembangunan (DE) kepada RM1.2 bilion tahun ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata perolehan pesawat Maritime Surveillance Aircraft, pelan penggantian kenderaan operasi serta pembinaan dan naik taraf kompleks serta jeti maritim di lokasi strategik menjadi keutamaan pihaknya.
"Peruntukan pembangunan bagi tahun ini menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 101.43 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi utama keselamatan maritim negara di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Rosli turut memaklumkan projek kapal Multi Purpose Mission Ship pertama kini mencapai kemajuan 58.3 peratus, mendahului jadual asal dan dijangka siap sepenuhnya tahun depan, manakala perolehan empat helikopter Medium Lift AW189 mencatat kemajuan 44.66 peratus dengan penerimaan pesawat pertama dijangka pada Julai ini.
Dalam Belanjawan 2026, Maritim Malaysia diperuntukkan RM2.29 bilion merangkumi RM1.09 bilion untuk Belanja Mengurus (OE) dan DE RM1.2 bilion.
Mengenai hala tuju agensi penguatkuasaan itu, Mohd Rosli berkata KDN menetapkan sasaran hari operasi di laut ditingkatkan kepada 280 hari berbanding 250 hari tahun lepas, selari dengan keperluan memperkukuh kehadiran di perairan negara.
"Maritim Malaysia akan terus mengamalkan Whole-of-Government melalui kerjasama bersepadu bersama agensi di bawah KDN, termasuk perkongsian maklumat risikan dan operasi bersama, bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan demi keselamatan perairan, kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Mohd Rosli berkata pihaknya telah mengendalikan 255 kes insiden di laut sepanjang tahun lepas dengan 1,765 nyawa berjaya diselamatkan, selain nilai harta benda yang diselamatkan dianggarkan mencecah RM1.8 bilion.
"Agensi ini turut merekodkan nilai rampasan berjumlah RM102.9 juta hasil 248,058 pemeriksaan, melibatkan 1,124 kes tangkapan dan rampasan bagi pelbagai kesalahan undang-undang maritim," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial