Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) komited memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab animasi utama di Asia Tenggara melalui strategi bersepadu merangkumi pembangunan bakat, pengeluar kandungan, pemasaran, pengedaran dan pengkomersialan harta intelek (IP) sepanjang tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata langkah itu selaras dengan Dasar Filem Negara yang sedang digubal untuk tempoh 10 tahun akan datang, dengan animasi menjadi antara fokus utama.
Beliau berkata FINAS kini bukan sekadar penyedia dana tetapi juga pengarah hala tuju industri, bertanggungjawab menyelaras pelesenan, pembangunan bakat, pemasaran, pengedaran dan pengkomersialan IP bagi membentuk ekosistem animasi yang kukuh dan mampan.
“Kita mahu pastikan semua elemen bersatu membentuk industri yang sihat dan berdaya saing, bukan sekadar menghasilkan projek atau dana sementara... usaha ini adalah untuk memastikan Malaysia kekal sebagai hab animasi terkemuka di rantau ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Azmir Saifuddin berkata strategi bersepadu itu merangkumi kerjasama erat antara syarikat tempatan, universiti, stesen TV dan platform digital supaya animasi tempatan sentiasa relevan, inovatif dan mampu menembusi pasaran serantau selain membuka ruang bagi pengembangan harta intelek tempatan.
“Kita mahu pastikan Malaysia terus di hadapan... momentum ini bukan sekadar kutipan pecah panggung tetapi juga membina hubungan strategik dengan rakan serantau termasuk festival, studio dan platform pengedaran di ASEAN.
“Langkah ini memberi peluang kepada syarikat tempatan belajar daripada pengalaman antarabangsa, meningkatkan kualiti produksi dan memperluas capaian pasaran selain memastikan Malaysia kekal relevan di peringkat serantau dan global,” katanya.
Beliau turut menekankan pembangunan pengeluar kandungan yang berdikari supaya projek animasi tempatan tidak terlalu bergantung kepada stesen TV atau dana kerajaan.
“Penerbit animasi perlu membawa idea dan skrip ke festival seperti Busan atau Tokyo untuk mencari rakan kongsi; barulah pembiayaan dan pengeluaran boleh berlaku... ini membina pengalaman dan jaringan yang kukuh,” katanya.
Azmir Saifuddin berkata pihaknya turut memfokus kepada pemasaran, pengedaran dan komersialisasi IP termasuk barangan, pakaian dan hak harta intelek bagi memaksimumkan potensi ekonomi animasi tempatan.
“Animasi bukan sekadar tayangan di layar, ia juga merangkumi pemasaran barangan, IP dan jenama... Les’ Copaque dan Didi & Friends sudah membuktikan animasi boleh menjana pendapatan melalui pelbagai saluran, dan ini boleh dikembangkan ke pasaran ASEAN,” katanya.
Bagi pembangunan bakat, beliau berkata FINAS menyedari pengambilan pelajar animasi semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini sedangkan industri memerlukan tenaga mahir.
“Kita akan perkasakan kerjasama dengan enam universiti sebelum ini selain mewujudkan program latihan untuk jurulatih agar dapat memastikan kurikulum selari dengan keperluan industri... ini mempersiapkan graduan bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga serantau.
“Program Belia Kreatif MADANI pula dijadikan platform mendekati generasi muda melalui animasi dan kandungan digital termasuk latihan menggunakan kecerdasan buatan (AI) serta teknik moden," katanya.
Azmir Saifuddin juga berkata program itu memastikan generasi muda dekat dengan animasi, memahami teknik moden termasuk AI dan bersedia menyumbang kepada ekosistem industri yang berdaya tahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial