WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Menteri Luar China, Finland Adakan Perbualan Telefon

07/01/2026 01:33 PM

BEIJING, 7 Jan (Bernama-CMG) -- Menteri Luar China Wang Yi mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Finland Elina Valtonen, pada Selasa.

Wang Yi menyatakan bahawa China dan Eropah perlu mengutamakan kerjasama serta memperkukuh hubungan sebagai rakan kerjasama.

Menurut beliau, China akan mengekalkan keterbukaan peringkat tinggi dan berhasrat meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan dengan Finland sempena tahun pertama pelaksanaan Rancangan Lima Tahun ke-15 negara itu.

"China bersedia mempergiat kerjasama dengan Finland dalam bidang-bidang seperti transformasi tenaga, ekonomi kitaran, kecerdasan buatan (AI), perlindungan alam sekitar, ekonomi golongan emas dan sebagainya," kata Wang.

Selain itu, beliau turut menzahirkan kesediaan China untuk berganding bahu dengan Finland dalam mempertahankan perdagangan bebas, menyokong globalisasi ekonomi, serta mewujudkan pembangunan dan kemakmuran bersama.

Valtonen dalam perbualan itu pula menyatakan bahawa hubungan antara Finland dan China berkembang secara mantap dalam jangka masa panjang, selain menegaskan komitmen pihaknya terhadap dasar satu China.

"Finland berharap untuk meningkatkan pertukaran lawatan peringkat tinggi dengan China, dan memperkasakan kerjasama dalam pelbagai sektor.

"Eropah dan China merupakan rakan kongsi penting dalam sektor iklim, tenaga dan sebagainya. Oleh itu, hubungan konstruktif antara kedua-dua pihak amat penting dan Finland bersedia memainkan peranan proaktif dalam usaha ini," kata Valtonen.

Kedua-dua menteri luar juga bertukar-tukar pendapat mengenai situasi semasa dan prospek krisis Ukraine.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan