WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Phivolcs Filipina: Amaran Tahap 3 Gunung Berapi Mayon Tidak Mungkin Diisytiharkan

03/01/2026 02:14 PM

MANILA, 3 Jan (Bernama-PNA) -- Peningkatan status amaran Gunung Berapi Mayon ke Tahap 3 dilihat belum berkemungkinan buat masa ini, menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) pada Jumaat.

“Setakat Jumaat, kami belum melihat petunjuk yang jelas dan berterusan untuk menaikkan amaran ke Tahap 3,” kata Pengarah Phivolcs Teresito Bacolcol kepada Agensi Berita Filipina (PNA).

Phivolcs merekodkan 43 kejadian runtuhan batuan di Gunung Berapi Mayon dari 12 tengah malam 1 Jan hingga 12 tengah malam 2 Jan, sedikit menurun berbanding 47 kejadian yang dicatatkan dari 31 Dis 2025 hingga 1 Jan.

“Sekiranya kami mengesan peningkatan parameter, kami mungkin akan menaikkan amaran ke Tahap 3. Penilaian akan dibuat secara hari-ke-hari,” katanya.

Phivolcs menaikkan status amaran Mayon daripada Tahap 1 iaitu ketidakstabilan rendah kepada Tahap 2 yang menunjukkan tahap ketidakstabilan sederhana pada Khamis, susulan peningkatan mendadak kejadian runtuhan batu serta pengembangan berterusan struktur gunung berapi itu.

Bacolcol berkata peningkatan runtuhan batu berpunca daripada pergerakan bahan panas ke arah atas di dalam gunung berapi, yang menyebabkan kubah puncak serta mendapan lava lama menjadi tidak stabil.

Disebabkan cerun Gunung Berapi Mayon yang curam, bahan-bahan ini mudah terlerai lalu mengakibatkan kejadian runtuhan batu, jelas beliau. Aktiviti sedemikian menunjukkan ketidakstabilan dalaman dan berpotensi mencetuskan peningkatan runtuhan batu serta aliran piroklastik berkepadatan tinggi.

-- BERNAMA-PNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan