WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Turkish Airlines Rancang Bina Terminal Kargo Terbesar Dunia Dengan Pelaburan Lebih US$2.3 Bilion

03/01/2026 12:27 AM

ISTANBUL, 2 Jan (Bernama-Anadolu) -- Syarikat penerbangan nasional Turkiye, Turkish Airlines mengumumkan  pada Jumaat rancangan untuk membina terminal kargo dan kemudahan katering dalam penerbangan terbesar di dunia dengan pelaburan berjumlah 100 bilion lira Turki (lebih US$2.3 bilion), lapor Agensi Anadolu.

"Turkiye sedang berkembang, Turkish Airlines sedang melonjak naik," menurut hantaran syarikat penerbangan itu di platform media sosial Turkiye, NSosyal.

Syarikat penerbangan itu menyatakan bahawa pelaburan serta pembinaan terminal kargo dan kemudahan katering itu bakal mewujudkan 26,000 peluang pekerjaan baharu.

"Sebagai jenama kebanggaan Turkiye, pencapaian ini amat membanggakan kami," katanya.

Meskipun lokasi projek berkenaan tidak dinyatakan secara khusus, Istanbul yang merupakan ibu kota komersial Turkiye dan menempatkan dua hab udara antarabangsa utama, dianggap sebagai lokasi yang paling mungkin.

Turkish Airlines yang berpangkalan di Istanbul merupakan antara syarikat penerbangan terbesar di dunia, membawa lebih 85 juta penumpang dan dua juta tan kargo setiap tahun.

Pada Selasa, Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Bilal Eksi berkata syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk berada dalam kedudukan lima terbaik dunia menjelang 2033, dengan jangkaan pengoperasian sebanyak 813 pesawat.

Setakat akhir 2025, Turkish Airlines memiliki sebanyak 514 pesawat.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan