WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Cuaca Baik Tarik Pengunjung Manfaat Cuti Sekolah Beriadah Di Mersing

31/12/2025 03:47 PM

MERSING, 31 Dis (Bernama) -- Keadaan cuaca yang bertambah baik di bandar ini selepas beberapa hari mengalami hujan memberi peluang kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti luar sempena cuti sekolah.

Tinjauan Bernama di Taman Rekreasi Pantai Mersing hari ini mendapati orang ramai meluangkan masa melakukan pelbagai aktiviti riadah bersama keluarga.

Seorang jururawat masyarakat Norlieyana Rayalli, 39, berkata dia mengambil cuti selama seminggu untuk pulang ke kampungnya di Felda Nitar, di sini dan berkesempatan beriadah di taman rekreasi berkenaan bersama anak-anak.

Norlieyana berkata Mersing terkenal dengan rangkaian pulau indah dan variasi pantai yang menjadi tumpuan pelancong, namun dia sedia maklum mengenai fasa Monsun Timur Laut (MTL) pada masa ini yang lazimnya berpotensi menyebabkan hujan berterusan, angin kencang dan laut bergelora. 

"Sepanjang tempoh hujan sebelum ini, kami banyak habiskan masa di rumah sahaja tetapi bermula semalam cuaca baik, kami pun datanglah ke sini untuk menikmati udara segar dan buat aktiviti menyeronokkan. 

"Anak-anak gembira dapat beri makan kepada arnab dan ayam selain bersiar-siar. Saya pun seronok dapat rehat minda di tepi pantai, " katanya yang tinggal di Kluang. 

Hidayah Rahim, 35, turut mengambil peluang cuaca baik sempena cuti sekolah untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarganya. 

"Aktiviti ringkas di luar rumah sudah cukup memberi pengalaman berbeza kepada anak-anak, sekadar berjalan tepi pantai, duduk di bawah pokok ambil angin pun sudah memadai… rasa tenang menikmati suasana damai. 

“Anak sulung saya, Muhamad Aisy Harith Mohamad Alif, 10, pun teruja dapat bergerak aktif dan bermain papan selaju… bolehlah hilangkan rasa bosan duduk di rumah semasa musim hujan tempoh hari," seloroh ibu tiga anak itu.

Pekerja di taman rekreasi berkenaan, Nurin Qamarina Abdullah, 24, berkata cuaca baik juga membolehkan orang ramai mencuba aktiviti menunggang kuda.

"Kami ada menyediakan khidmat kereta kuda serta aktiviti menunggang kuda untuk kanak-kanak dan dewasa, selain aktiviti memberi makan kepada ayam dan arnab khusus untuk kanak-kanak.

“Jika hujan lebat kami tidak beroperasi, tetapi syukurlah sejak semalam cuaca bertambah baik," katanya. 

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mersing Lt M (PA) Muhamad Syafiq Mohamad Sabri ketika dihubungi Bernama berkata meskipun cuaca baik, keadaan angin kencang dan laut bergelora berisiko kepada aktiviti pantai serta berkaitan air.

"Orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi tanda amaran bendera merah di persisiran pantai di sini serta peka dengan amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), susulan daerah ini masih dalam fasa MTL," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan