IPOH, 29 Dis (Bernama) -- Enam unit rumah pangsa di National Garden Flat, Jalan Sultan Nazrin Shah, di sini musnah akibat kebakaran hari ini, namun kejadian tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 1.49 tengah hari.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati api sedang marak di tiga unit rumah dan kemudian merebak ke tiga unit lain. Rumah pangsa kelas A berukuran 40 kaki x 25 kaki setiap satu itu terbakar kira-kira 90 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata anggota bomba mengalami kesukaran untuk memadam kebakaran itu kerana terdapat beberapa unit rumah berkunci dan dipasang jeriji besi.
Shazlean berkata api berjaya dikawal pada 2.30 petang dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 5.49 petang.
Beliau berkata operasi berkenaan melibatkan 31 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh serta Simpang Pulai selain dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pinji, Menglembu, Pekan Baru serta Bercham.
Dalam kes lain, Shazlean berkata empat rumah teres setingkat di Jalan Muhammad Rashid, Kampung Kuala Pari Hilir, Menglembu, turut mengalami kebakaran kira-kira 4 petang tadi.
“Dua daripada rumah itu musnah kira-kira 90 peratus manakala dua lagi terbakar kira-kira 50 dan 30 peratus. Terdapat dua motosikal masing-masing jenis Yamaha RXZ dan Yamaha 125 juga terbakar 90 peratus,” katanya.
Beliau berkata operasi pemadaman disertai 23 anggota dengan empat jentera daripada BBP Pasir Puteh, BBP Meru Raya, BBP Batu Gajah, selain dibantu tiga anggota PBS Menglembu dengan sebuah jentera.
Susulan kejadian itu, 22 orang daripada empat keluarga terlibat dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Komuniti Kampung Kuala Pari yang dibuka pada 6 petang tadi.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinta memaklumkan mangsa terlibat terdiri daripada 13 dewasa, seorang warga emas dan orang kurang upaya serta tujuh kanak-kanak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial