WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mayat Kanak-Kanak Warga Sepanyol Ditemukan Dalam Nahas Bot Di Labuan Bajo

29/12/2025 04:30 PM

LABUAN BAJO, 29 Dis (Bernama-ANTARA) -- Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia pada pagi Isnin menemukan mayat seorang kanak-kanak warga Sepanyol yang dilaporkan hilang selepas insiden bot pelancong karam di perairan Pulau Padar, Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, hujung minggu lalu, lapor Agensi Berita ANTARA.

Ketua Operasi Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Maumere, Asfan Dulhasan berkata mangsa, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

“Pada hari keempat operasi pencarian, sekitar 6.05 pagi waktu tempatan (GMT+8), kami menerima maklumat daripada penduduk yang menemukan mangsa di perairan sekitar Pulau Serai, yang terletak dalam kawasan Taman Negara Komodo,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Daerah Komodo di Labuan Bajo untuk proses selanjutnya.

Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga tujuh hari lagi bagi mengesan tiga mangsa lain yang masih hilang, kesemuanya warga Sepanyol.

Ketua Pejabat SAR Maumere, Fathur Rahman berkata operasi menyelamat turut dibantu kapal KN SAR Puntadewa 250 yang tiba di lokasi pada Ahad.

Bot pelancong KM Putri Sakinah yang membawa empat kru dan tujuh penumpang dari Pulau Komodo ke Pulau Padar dilaporkan karam pada malam Jumaat, 26 Disember, selepas dilanda ombak besar yang menyebabkan kegagalan enjin, menurut pihak berkuasa.

Seramai tujuh individu berjaya diselamatkan, manakala empat yang lain - seorang bapa dan tiga anaknya - dilaporkan hilang.

-- BERNAMA-ANTARA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan