WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MetMalaysia Ramal Luruan Monsun, Hujan Lebat Berterusan Di Sarawak Mulai 1 Jan

29/12/2025 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan luruan monsun dijangka memasuki rantau negara bermula 1 hingga 5 Jan depan.

Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan itu berpotensi membawa hujan lebat berterusan di Sarawak serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.

“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook MetMalaysia hari ini.

Dalam hantaran berasingan, MetMalaysia mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga di kawasan perairan timur laut Condore dan barat laut Reef North sehingga Jumaat ini dengan kelajuan angin melebihi 60km/jam dan ombak setinggi melebihi 4.5 meter (m).

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” katanya.

Dalam tempoh sama, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran kategori kedua dengan angin berkelajuan 50 hingga 60km/jam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5m yang dijangka berlaku di kawasan perairan Condore serta timur laut dan barat daya Reef North.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya.

Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama dikeluarkan bagi kawasan perairan tenggara Samui, Tioman, utara Bunguran, tenggara dan utara Reef North, Layang-Layang serta barat Palawan.

Angin kencang berkelajuan 40 hingga 50km/jam dengan ketinggian ombak mencapai 3.5m dijangka berlaku di kawasan berkenaan, yang berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan