WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Seru Rakyat Tolak Kebencian, Semai Empati Sempena Hari Krismas

24/12/2025 08:18 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Bersempena sambutan Hari Krismas esok, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia memperkukuh tekad untuk menolak kebencian dan menyemai empati demi keharmonian bersama.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara terletak pada kesatuan dalam kepelbagaian khususnya dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan kaum.

Beliau berkata Kerajaan MADANI percaya keharmonian tidak lahir secara kebetulan tetapi dibina melalui dasar yang adil, peluang yang saksama dan budaya saling memahami dalam kalangan rakyat.

“Dalam dunia yang berdepan ketidaktentuan ekonomi, konflik kemanusiaan dan perpecahan sosial, Malaysia memilih jalan perpaduan, dialog dan saling menghormati sebagai asas membina masa depan negara.

“Perpaduan yang tulen terzahir apabila setiap warga dihormati, dilindungi dan diberi ruang untuk menyumbang kepada masa depan negara,” katanya.

Perdana Menteri turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua penganut Kristian yang akan meraikannya dan berharap sambutan itu membawa kedamaian, keharmonian serta kemakmuran kepada Malaysia dan seluruh rakyat.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan