WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lebihan Cukai: RM18 Bilion Telah Dibayar, Libat 3.54 Juta Kes

24/12/2025 12:15 PM

PUTRAJAYA, 24 Dis (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memproses bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM18 bilion melibatkan 3.54 juta kes sehingga 22 Dis 2025, susulan pelaksanaan peruntukan tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa bagi tempoh 1 Jan hingga 8 Dis 2025, bayaran balik berjumlah RM15 bilion telah diproses melibatkan 3.52 juta kes.

Menurut LHDN, bagi tempoh 9 hingga 15 Dis 2025, peruntukan tambahan berjumlah RM1 bilion telah diproses dan dikreditkan melibatkan 6,480 kes.

“Ini diikuti peruntukan tambahan RM1 bilion bagi tempoh 16 hingga 18 Dis 2025 yang melibatkan 1,339 kes.

“Bagi tempoh 19 hingga 22 Dis 2025 pula, LHDN telah memproses bayaran balik berjumlah RM1 bilion melibatkan 13,111 kes,” menurut kenyataan itu

Secara keseluruhan, LHDN memaklumkan bahawa daripada peruntukan tambahan berjumlah RM4 bilion yang diumumkan, sebanyak RM3 bilion telah berjaya diproses dan dikreditkan dalam tempoh 9 hingga 22 Dis 2025, melibatkan 20,930 kes.

“Baki peruntukan tambahan berjumlah RM1 bilion akan diproses dan diselesaikan sepenuhnya sebelum akhir Disember 2025,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan turut memaklumkan bahawa dana tambahan RM1 bilion pertama telah digunakan bagi menyelesaikan tunggakan bayaran balik yang berusia melebihi tiga tahun tanpa mengambil kira amaun terlibat.

“Manakala dana RM2 bilion berikutnya difokuskan kepada penyelesaian bayaran balik bagi kes berusia dua hingga tiga tahun, dengan keutamaan diberikan kepada syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS),” menurut kenyataan itu.

Pada 7 Dis lepas, Perdana Menteri mengumumkan peningkatan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion bagi mempercepat pembayaran tertunggak kepada pembayar cukai.

Dalam pada itu, LHDN menasihatkan pembayar cukai supaya memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan adalah tepat dan terkini bagi melancarkan proses bayaran balik. LHDN turut menegaskan komitmen untuk terus menyelesaikan bayaran balik secara teratur dan berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada amaun tertunggak serta kes melibatkan PKS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan