WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ketua PBB Minta Semua Pihak “bertenang” Ketika Honduras Menanti Keputusan Pilihan Raya

24/12/2025 10:12 AM

HAMILTON (Kanada), 24 Dis (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Selasa menggesa semua pihak di Honduras agar kekal bertenang dan “menahan diri” ketika negara itu menantikan keputusan rasmi pilihan raya umum yang diadakan pada 30 Nov, lapor Anadolu Ajansi.

“Setiausaha Agung sedang mengikuti perkembangan di Honduras dengan teliti susulan pilihan raya umum 30 Nov lalu,” kata jurucakap Guterres, Farhan Haq dalam satu kenyataan.

Sambil menegaskan bahawa Guterres “mengalu-alukan suasana tenang dan teratur ketika proses pengundian dijalankan,” Haq berkata ketua PBB itu “menyatakan kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin meningkat memandangkan pengisytiharan rasmi keputusan masih belum dibuat.”

“Beliau menggesa semua pihak supaya menahan diri semaksimum mungkin, mengelakkan daripada penggunaan bahasa atau tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan serta membenarkan institusi pilihan raya menyelesaikan tugas mereka tanpa sebarang campur tangan, selain menangani pertikaian pilihan raya melalui mekanisme undang-undang yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Guterres seterusnya menegaskan “kepentingan mengisytiharkan keputusan rasmi mengikut garis masa perlembagaan serta memastikan peralihan kuasa yang teratur pada 27 Jan.”

Susulan pilihan raya 30 Nov itu, Honduras terjerumus ke dalam krisis pilihan raya akibat masalah pada platform dalam talian yang digunakan untuk memaklumkan keputusan serta dakwaan pelanggaran keselamatan dalam sistem pengiraan undi.

Parti pemerintah dan pegawai pilihan raya terus mempersoalkan kesahihan pilihan raya berkenaan susulan kebimbangan terhadap rentetan ketidakkonsistenan dalam sistem pengiraan undi.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan