WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RKB KPDN: Kuasa Aduan Di Hujung Jari, Kelulusan Lesen Lebih Pantas

24/12/2025 10:11 AM

KOTA BHARU, 24 Dis (Bernama) -- Bagi kebanyakan pengguna, membuat aduan berkaitan harga barangan sebelum ini sering dikaitkan dengan proses yang rumit dan memerlukan kehadiran fizikal ke pejabat kerajaan.

Namun, pendekatan itu berubah apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan sistem e-Aduan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) bagi memudahkan penyampaian perkhidmatan awam.

Inisiatif e-Aduan selari dengan pelaksanaan RKB yang menekankan pemudahan proses, pendigitalan perkhidmatan, dan peningkatan kecekapan penyampaian kerajaan.

Melalui sistem e-Aduan, pengguna hanya perlu menghantar gambar, resit serta maklumat lokasi melalui aplikasi WhatsApp atau Kod QR Aduan Suri, tanpa perlu hadir ke kaunter. Pendekatan digital ini mengurangkan langkah birokrasi dan mempercepatkan tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang melanggar peraturan harga.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail, berkata aduan yang diterima akan direkodkan terus ke dalam sistem dan disalurkan kepada pegawai penguat kuasa untuk tindakan segera.

“Tindakan awal boleh diambil dalam tempoh empat hingga lima jam waktu bertugas, manakala kebanyakan aduan diselesaikan dalam tempoh 48 jam, bergantung kepada jenis kes dan kelengkapan maklumat,” katanya.

Beliau menegaskan pendekatan ini amat signifikan di Kelantan, yang mempunyai lebih 1.7 juta penduduk dengan hanya 142 anggota penguat kuasa bagi memantau lebih 100,000 premis perniagaan.

Menurutnya, aduan pengguna berfungsi sebagai indikator awal untuk membantu KPDN memberi tumpuan kepada kes berisiko tinggi tanpa perlu pemeriksaan rawak yang memakan masa.

Impak reformasi ini turut dirasai pengguna. Seorang suri rumah, Siti Farhana, 29, berkata sistem e-Aduan menjimatkan masa dan kos kerana aduan boleh dibuat dari rumah.

“Dulu saya fikir nak buat aduan kena pergi pejabat dan isi borang. Sekarang ambil gambar dan hantar WhatsApp sahaja. Jimat masa dan tak perlu tinggalkan urusan rumah,” katanya.

Pendekatan RKB di KPDN dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi perlindungan pengguna dan pemudahcaraan urusan perniagaan. Transformasi digital kementerian ini turut merangkumi aspek pelesenan melalui sistem BLESS (Business Licensing Electronic Support System)

Melalui inisiatif ini, tempoh kelulusan Lesen Jualan Langsung berjaya dipendekkan daripada 90 hari kepada hanya 21 hari.

Langkah itu membuktikan pendigitalan proses bukan sahaja melindungi pengguna, malah meningkatkan produktiviti peniaga dengan mengurangkan tempoh menunggu yang panjang. Dalam aspek penguatkuasaan, Azman berkata bukti digital seperti resit pembelian membolehkan tindakan diambil di lokasi.

“KPDN merekodkan 838 aduan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, kebanyakannya melibatkan jualan melebihi kawalan harga, ketiadaan tanda harga, dan penipuan harga makanan,” katanya.

Bagi pengguna bekerja, sistem ini meningkatkan rasa keadilan dalam pasaran. Pemandu lori, Mohd Firdaus Ismail, 45, berkata tindakan pantas terhadap pelanggaran harga memberi kesan positif kepada pengguna serta mendisiplinkan peniaga.

“Apabila aduan dibuat terus melalui telefon, tindakan menjadi lebih cepat dan pengguna berasa dilindungi,” katanya.

Sementara itu, peruncit kecil, Ahmad Zulkifli, 52, berkata sistem e-Aduan membantu mewujudkan persaingan lebih adil apabila penguat kuasa bertindak segera terhadap peniaga yang melanggar peraturan harga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan