Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Platform mata wang kripto iaitu Luno Malaysia merancang untuk memperkenalkan lebih banyak pilihan staking pada tahun hadapan sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk memperluaskan penawaran aset digital patuh syariah di negara ini.
Staking berfungsi untuk membantu pelabur mengembangkan pegangan mata wang kripto mereka di pasaran. Dengan mengunci sejumlah mata wang kripto pada blockchain untuk suatu tempoh, maka pengguna akan meraih ganjaran tambahan pada tindakan pelaburan itu.
Pegawai Am Kanan Luno Malaysia Amalina Tarmizi berkata pelancaran aset staking tambahan sudah menjadi sebahagian daripada pelan hala tuju pembangunan Luno, dengan pengumuman lanjut akan dibuat sebaik sahaja syarikat bersedia untuk melancarkan produk baharu.
“Kami mempunyai beberapa pelan yang sedang dalam perancangan dan ya, semuanya telah berada dalam pelan hala tuju kami. Kami sudah pasti akan membuat pengumuman sebaik sahaja segala-galanya siap,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.
Aplikasi Luno menampilkan kategori khusus yang membolehkan pengguna menyemak sama ada sesuatu aset diklasifikasikan sebagai patuh Syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Pada Oktober, Luno memperkenalkan staking patuh Syariah untuk Solana (SOL) dan Cardano (ADA), sekali gus memperkukuh keyakinan dalam kalangan pelabur Muslim yang ingin memastikan pelaburan mereka sejajar dengan prinsip-prinsip Islam.
Pada masa ini, Luno menawarkan perkhidmatan staking untuk enam aset digital, iaitu Ethereum (ETH), Solana (SOL), Cardano (ADA), NEAR Protocol (NEAR), Cosmos (ATOM) dan Polkadot (DOT). Daripada jumlah itu, Ethereum, Solana dan Cardano diklasifikasikan sebagai patuh Syariah.
Platform itu menyenaraikan 23 aset digital secara keseluruhan, dengan 22 daripadanya tersedia untuk diniagakan.
Amalina menjelaskan staking membolehkan pengguna menempatkan aset digital yang disokong ke dalam dompet staking, di mana token berkenaan membantu mengesahkan transaksi blockchain dan menjamin keselamatan rangkaian, sebagai balasannya pengguna akan memperoleh ganjaran.
Sejak diperkenalkan staking SOL dan ADA, Amalina berkata Luno telah menyaksikan peningkatan ketara dalam kalangan pengguna Malaysia yang menyertai staking, terutamanya pelabur Muslim memandangkan pensijilan patuh Syariah telah mengukuhkan keyakinan bahawa pelaburan mereka adalah halal dan selaras dengan prinsip Islam bahawa “mencari yang halal adalah satu kewajipan untuk semua Muslim.”
Beliau berkata selain daripada aspek pematuhan, pensijilan itu mencerminkan komitmen Luno terhadap ketelusan dan tadbir urus yang beretika, memastikan dana staking digunakan hanya untuk tujuan staking dan bukan untuk aktiviti yang tidak berkaitan.
“Ketelusan adalah sangat penting, terutamanya dalam kelas-kelas aset yang masih baharu. Kami menjalani semakan Syariah yang menyeluruh untuk menunjukkan perkhidmatan kami beroperasi seperti yang dinyatakan dan dana-dana pelanggan diuruskan secara bertanggungjawab.
“Sebagai platform yang dikawal selia di bawah SC, Luno mematuhi semua keperluan pematuhan, mengemukakan laporan secara berkala dan memanfaatkan pengawasan kawal selia dan ketelusan operasi untuk membina kepercayaan dalam kalangan para pengguna,” katanya.
Sentimen Pasaran Mata Wang Kripto di Malaysia
Mengulas mengenai landskap kripto secara lebih meluas, Amalina berkata pelabur Malaysia kekal aktif walaupun berlaku turun naik pasaran yang berterusan.
“Walaupun terdapat turun naik, kami melihat penglibatan yang konsisten. Ini mencerminkan asas pelabur yang lebih matang dan yakin,” katanya.
Beliau berkata tingkah laku pelabur telah berkembang sepanjang tahun, beralih daripada spekulasi jangka pendek kepada pelaburan yang strategik untuk jangka panjang.
“Sebelum ini, trend adalah mengejar keuntungan secara cepat. Tetapi kini lebih ramai pelabur melihat kripto sebagai kelas aset jangka panjang, menumpukan kepada pertumbuhan yang berterusan dan bukannya keuntungan segera. Ini menunjukkan pasaran kripto Malaysia semakin matang sambil kekal dinamik,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Amalina berkata Luno menjangkakan pertumbuhan berterusan dalam sektor itu, sebahagiannya dipacu oleh minat institusi yang meningkat di peringkat global dan serantau.
“Sepanjang dua tahun kebelakangan ini, kami telah menyaksikan perubahan yang kukuh dalam penerimaan institusi. Pemain-pemain besar sedang memasuki pasaran dan kami berharap momentum ini akan bertambah kukuh menjelang 2026. Semoga kita akan melihat lebih banyak penyertaan institusi dalam industri kripto,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial