WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Rompak Wanita Warga Indonesia: Mekanik Dipenjara Tiga Tahun, Satu Sebatan 

22/12/2025 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Seorang mekanik dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merompak dua telefon bimbit dan wang tunai RM1,000 milik seorang wanita warga Indonesia, bulan lepas.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Mohamad Hasrul Aiman Mohd Hanapi, 24, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 21 Dis lepas.

Dia bersama-sama seorang lagi rakannya (didakwa berasingan) merompak dua telefon bimbit serta wang tunai wanita berusia 33 tahun itu, di sebuah kafe di Jalan Langkawi, Setapak di sini pada 3.32 petang, 5 Nov lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Wafa Zainal Abidin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh namun, Mohamad Hasrul yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung keluarga serta ibunya.

Di mahkamah sama, prebet Muhammad Hairul Andika Amir, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merompak mangsa serupa pada tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Muhammad Hairul dan menetapkan 22 Jan 2026 untuk sebutan kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan