WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sukan SEA 2025: Emas Regu Lelaki Penutup Cukup Menggembirakan - Dr Mohammed Taufiq

20/12/2025 05:26 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

NAKHON PATHOM, 20 Dis (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari menyifatkan kejayaan skuad sepak takraw negara meraih pingat emas acara regu lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025 di sini, sebagai penutup temasya yang amat membanggakan buat Malaysia.

Beliau berkata kejayaan itu, bukan sahaja menjadi kemuncak yang menggembirakan pada hari terakhir temasya sukan dwitahunan itu, malah mencerminkan sumbangan besar pasukan sepak takraw kepada pencapaian keseluruhan kontinjen negara.

“Hari ini kita menyaksikan satu penutup yang cukup menggembirakan Malaysia, satu penutup yang amat membanggakan.

“Pasukan sepak takraw kita telah berjaya memenangi pingat emas bagi acara lelaki (regu), manakala pasukan wanita pula menyumbang pingat gangsa,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat di Stadium Gimnasium Nakhon Pathom di sini, hari ini.

Beliau turut mengalungkan pingat kepada skuad sepak takraw negara selaku juara.

Dr Mohammed Taufiq berkata pencapaian tersebut turut menyumbang kepada kutipan pingat keseluruhan Malaysia yang antara tertinggi dalam sejarah penyertaan negara di Sukan SEA sejak edisi 2007 di Korat, Thailand bagi temasya yang berlangsung di luar Kuala Lumpur.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh atlet, jurulatih dan pegawai pasukan atas komitmen serta semangat juang tinggi yang dipamerkan.

Pada saingan hari ini, skuad sepak takraw negara meneruskan momentum kecemerlangan apabila meraih emas regu lelaki selepas mengatasi Vietnam 2-0 pada aksi final di sini.

Kejayaan itu menamatkan kemarau emas Malaysia dalam acara regu lelaki sejak edisi 2017 di Kuala Lumpur, selain menambah koleksi emas kem sepak takraw negara selepas turut mencipta sejarah menumbangkan Thailand untuk menjuarai acara regu berpasukan lelaki selepas 34 tahun.

Anak buah Ahmad Jais Baharun menutup tirai temasya dwitahunan itu dengan nota positif, apabila saingan regu yang menjadi perlawanan terakhir dan menawarkan pingat, menyaksikan kontinjen Malaysia menambah emas ke-57.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan