MELAKA, 20 Dis (Bernama) -- Sebanyak 92 program melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dilaksanakan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil dalam tempoh dua minggu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil Adly Zahari berkata program bermula 7 Dis itu memberi ruang penyelesaian secara langsung terhadap isu kebajikan, peluang ekonomi, pendidikan, kesihatan, pembangunan komuniti serta pengukuhan perpaduan masyarakat.
“Saya berpeluang turun padang, mendengar dan menyaksikan sendiri realiti masyarakat pelbagai peringkat. WRUR menjadi medan pertemuan rakyat dan kerajaan dalam suasana lebih terbuka, jujur serta membina,” katanya.
Adly berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutup WRUR DUN Bukit Katil di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Baru di sini hari ini, yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata DUN Bukit Katil juga unik apabila dua parti berbeza dalam Kerajaan MADANI, iaitu Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dapat bekerjasama dengan baik serta bergerak seiring sepanjang pelaksanaan WRUR.
“Semangat kerjasama ini membuktikan perbezaan politik bukan penghalang untuk bekerja demi kepentingan rakyat dan wajar dijadikan contoh kematangan politik serta perpaduan,” katanya.
Adly berkata WRUR juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri memastikan aduan dan kepentingan rakyat ditangani secara tuntas serta responsif menerusi pelbagai bantuan, insentif, peluang ekonomi, advokasi pendidikan, kesihatan, kebajikan dan program kesejahteraan rakyat.
Beliau berharap semua input, pandangan serta penyelesaian menerusi WRUR dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk selain menjadi titik permulaan kepada hubungan lebih erat serta berterusan antara rakyat dan wakil rakyat.
Sementara itu, Ab Rauf dalam ucapannya berkata secara keseluruhan bagi 10 siri pelaksanaan WRUR di seluruh negeri, sebanyak 2,245 aduan rakyat diterima dengan 1,704 atau 76 peratus daripadanya berjaya diselesaikan setakat ini.
Bagi DUN Bukit Katil, beliau berkata sebanyak 255 aduan direkodkan dengan 66 telah diselesaikan manakala baki sedang dalam tindakan segera oleh jabatan dan agensi berkaitan.
“Di sebalik angka itu ialah kisah dan harapan rakyat yang perlu diberi perhatian serius kerana setiap aduan mencerminkan keresahan serta kebergantungan masyarakat kepada keprihatinan dan kecekapan kerajaan dalam menyelesaikan isu pada peringkat akar umbi,” katanya.
Ab Rauf berterima kasih kepada semua pihak termasuk barisan pentadbiran negeri, jabatan dan agensi kerajaan, pasukan petugas serta kepimpinan masyarakat kerana memberi komitmen tinggi dalam memastikan setiap aduan rakyat ditangani sewajarnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial