WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sultan Perak Berkenan Rasmi ‘UM Immersive 120’ Simbol Kecemerlangan Universiti Malaya

20/12/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan UM Immersive 120, ruang interaktif berteknologi tinggi yang diwujudkan bagi memperingati 120 tahun kecemerlangan akademik Universiti Malaya (UM).

Keberangkatan tiba baginda pada 11.15 pagi di Censelori UM disambut oleh Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.

Pelancaran inisiatif immersive pertama pada peringkat universiti awam itu, antara lain bertujuan menzahirkan peranan signifikan UM dalam pembinaan negara serta pengaruhnya di persada global, sekali gus mencerminkan komitmen UM sebagai perintis inovasi dalam akademik, penyelidikan serta penyampaian sejarah, identiti dan nilai universiti secara progresif dan berimpak tinggi.

Noor Azuan berkata majlis pelancaran itu menjadi detik bersejarah kerana melambangkan kesinambungan nilai, warisan dan pemikiran Universiti Malaya sepanjang 120 tahun penubuhannya.

“Melalui pengalaman visual yang mengagumkan, interaksi audio yang mendalam serta penceritaan digital yang dinamik, sejarah dan aspirasi universiti tersebut dapat dihayati secara menyeluruh dan berkesan melalui ruang interaktif ini.

“Ia bukan sekadar pameran sejarah, sebaliknya satu perjalanan merentas masa dan jiwa yang merangkum kisah penubuhan, perjuangan, pencapaian serta aspirasi masa hadapan UM agar warisan ini bukan hanya dikenang, tetapi benar-benar dihayati oleh setiap generasi,” katanya.

Selain majlis pelancaran, Sultan Nazrin yang juga Canselor UM turut berkenan melawat Galeri Seni Universiti Malaya (UMAG) bagi menyaksikan pameran Legacy in Canvas: A Tribute to His Royal Highness Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah

Pameran itu menampilkan koleksi potret kurasi yang merakam perjalanan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang bermula sebagai pelajar jurusan undang-undang kepada majistret, ketua hakim negara dan canselor, sekali gus menzahirkan dedikasi Almarhum terhadap kecemerlangan akademik serta kedaulatan undang-undang.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan