WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lebih 1,700 PJRM Dilaksanakan Di Johor Dengan Nilai Jualan RM65.7 Juta

20/12/2025 02:52 PM

KULAI, 20 Dis (Bernama) -- Sebanyak 1,783 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) telah dilaksanakan di seluruh Johor dari Januari hingga Disember tahun ini dengan nilai jualan keseluruhan berjumlah RM65.7 juta.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata inisiatif itu telah memberikan manfaat secara langsung kepada lebih 1.96 juta isi rumah di negeri ini bagi tempoh berkenaan.

Beliau berkata PJRM Kembali ke Sekolah 2026 dan program khas bersempena dengan sambutan Krismas yang dilaksanakan hari ini adalah antara sebahagian daripada 1,783 program PJRM yang dianjurkan di Johor.

“Antara inisiatif utama PJRM tahun ini ialah program Kembali ke Sekolah yang memberikan tumpuan dalam membantu ibu bapa dan penjaga mendapat keperluan persekolahan pada harga lebih berpatutan bagi persediaan sesi persekolahan 2026, di samping menyokong kesejahteraan pengguna di Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program PJRM Kembali ke Sekolah 2026 dan Krismas peringkat negeri di Padang IOI Mall, di sini hari ini.

Lilis Saslinda berkata program PJRM Kembali ke Sekolah 2026 akan dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan fasa di luar bangunan (outdoor) pada 20 dan 21 Dis di Tapak Padang IOI Mall, Kulai, diikuti di dalam bangunan (indoor) dengan fasa pertama pada 27 dan 28 Dis melibatkan 44 premis, iaitu semua outlet Pasaraya Ten Ten dan Green Point di seluruh Johor.

“Pelaksanaan secara indoor fasa kedua pula dijadualkan pada 3 dan 4 Jan 2026 dengan penglibatan 58 premis yang melibatkan semua outlet Pasaraya Ten Ten, Green Point dan Pasaraya Sakan di Johor,” katanya.

Beliau berkata menerusi program itu, pengguna berpeluang membeli pakaian seragam sekolah, kasut, beg dan alat tulis pada harga lebih rendah dengan diskaun antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa.

“Selain itu, KPDN Johor turut melaksanakan PJRM bersempena dengan sambutan Hari Krismas yang akan dianjurkan secara outdoor di lapan lokasi melibatkan semua daerah di negeri ini sebagai usaha memastikan akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat pada musim perayaan.

“KPDN Negeri Johor akan terus komited melaksanakan inisiatif berterusan yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan dan kemampanan dalam pengurusan kos sara hidup,” katanya.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat lanjut serta merujuk Takwim PJRM melalui pautan rasmi KPDN https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan