WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Kemudi ASEAN Harungi Tahun Mencabar, Anjur Lebih 320 Mesyuarat

20/12/2025 12:10 PM

Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, Dis 20 (Bernama) -- Menjelang ambang 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengingatkan bahawa Malaysia berdepan tugas besar untuk memimpin rantau Asia Tenggara memasuki tahun baharu selaku Pengerusi ASEAN.

Dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, perdana menteri berkata kerumitan landskap global menuntut ASEAN untuk melakar peranan serta pengarahan baharu.

“Ini tugas besar Malaysia untuk membawa seluruh kekuatan, seluruh pasukan yang ada sebagai satu kesatuan dan menjamin supaya pembangunan ini terus mampan,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2025 ketika itu.

Ketika Malaysia menamatkan penggal kepengerusian ASEAN kali ini, ramalan perdana menteri itu ternyata menjadi kenyataan.

Negara ini berjaya mengemudi blok serantau itu mengharungi tahun yang bergelora yang ditandai dengan ketegangan serantau, konflik global serta cabaran ekonomi. Malaysia menganjurkan kira-kira 320 mesyuarat di seluruh negara dan memacu pelbagai inisiatif merangkumi tonggak politik-keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya.

Penganalisis berkata Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia membantu mengemudi blok serantau itu untuk mengekalkan pendirian berkecuali dan tidak memihak dalam mendepani cabaran dalaman, di samping memelihara peranan utama ASEAN dalam landskap global yang semakin kompleks.

Perjanjian Damai Kuala Lumpur, yang meredakan sementara ketegangan di sempadan Kemboja-Thailand di sebalik latar belakang konflik di Ukraine dan Gaza, mengukuhkan komitmen ASEAN terhadap keamanan dan kestabilan serantau.

Bercakap kepada Bernama, Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn berkata Kepengerusian Malaysia membuahkan hasil memberangsangkan meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi.

“Malaysia menggalas peranan itu dalam tempoh geopolitik yang benar-benar mencabar, ketika dunia berdepan peperangan di Ukraine dan Gaza, selain ketidaktentuan ekonomi susulan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS).

“Ia sememangnya bukan persekitaran mudah untuk dikemudi ASEAN, namun melalui komitmen bersama dan usaha gigih, rantau ini berjaya mengharungi cabaran berkenaan,” katanya dalam satu temu bual bertulis.

Kao menyifatkan Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang dimeterai pada Oktober 2025 di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 sebagai antara pencapaian penting.

“Langkah proaktif Perdana Menteri Anwar menerusi "diplomasi telefon" adalah penting dalam memperoleh konsensus yang diperlukan daripada pemimpin ASEAN untuk bersetuju dengan gencatan senjata dan seterusnya menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur,” katanya, sambil mengakui risiko perjanjian itu berdepan kegagalan selepas konflik itu kembali memuncak bulan ini.

Dalam bidang ekonomi, Kao berkata ASEAN mencatatkan kemajuan memberangsangkan, termasuk pemeteraian naik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Protokol Naik Taraf Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0.

Pakar geostrategi dan Felo Majlis Profesor Negara Prof Dr Azmi Hassan berkata Malaysia mengukuhkan Kepusatan ASEAN dengan mengekalkan keneutralan di tengah-tengah tekanan luar, termasuk dalam menangani situasi di Gaza.

“Malaysia juga terlibat dalam konteks Selatan Global, BRICS dan G20. Dalam menangani isu-isu luar ini dalam ASEAN, kita tidak memihak kepada mana-mana pihak, sebaliknya mengekalkan pendirian berkecuali, yang merupakan sumbangan paling signifikan sepanjang kepengerusian kita,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Siti Darwinda Mohamed Pero berkata Malaysia menonjol bukan sahaja melalui pencapaian diplomatik, tetapi juga melalui “keyakinan tenang” yang membimbing ASEAN sepanjang tahun yang amat kompleks.

Beliau berkata Malaysia mengambil pendekatan terhadap kepengerusian itu sebagai peluang untuk membuktikan bahawa Asia Tenggara mampu mengekalkan suara yang konsisten di tengah persaingan kuasa besar, tanpa menjejaskan komitmen ASEAN terhadap keneutralan.

“Malaysia mengimbangi geopolitik berkepentingan tinggi dengan usaha tulen untuk memajukan inisiatif serantau seperti "Dialog Strategik ASEAN mengenai Autonomi Serantau dan Pakatan Ketahanan Iklim".

“Kepengerusian Malaysia mengingatkan pemerhati bahawa kekuatan ASEAN bukan terletak pada pemilihan pihak, tetapi dalam mewujudkan ruang untuk dialog, keamanan dan masa depan serantau yang dikongsi bersama,” katanya.

Siti Darwinda menambah bahawa kepengerusian Kuala Lumpur turut mencapai satu lagi pencapaian penting menerusi penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, yang melambangkan kesediaan blok itu untuk berkembang dan menerima sebuah negara muda sebagai sebahagian daripada keluarga serantaunya.

Malaysia menganjurkan kira-kira 320 mesyuarat ASEAN sepanjang 2025, sekali gus menekankan skala dan keluasan peranannya. Mesyuarat itu dianjurkan merangkumi tiga tonggak utama kerjasama ASEAN.

Tonggak Politik-Keselamatan dipimpin oleh Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, dengan tumpuan kepada keamanan serantau, kestabilan dan dialog strategik.

Tonggak Ekonomi, yang diselia oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), memberi fokus kepada perdagangan, pelaburan dan integrasi ekonomi.

Mesyuarat Tonggak Sosiobudaya pula diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), meliputi hubungan antara rakyat, budaya, pendidikan serta pembangunan mampan.

Terdapat pelbagai peringkat penglibatan, termasuk beberapa mesyuarat peringkat tinggi. Antaranya lebih 10 mesyuarat peringkat tinggi melibatkan ketua-ketua negara dan kerajaan yang diadakan bersempena sidang kemuncak utama ASEAN.

Antara sidang kemuncak khas yang penting ialah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang pertama serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, kedua-duanya diadakan pada Mei. Sidang kemuncak ini menandakan pencapaian penting dalam hubungan luar ASEAN dan peluasan jangkauan kepada rakan strategik.

Malaysia turut menganjurkan siri sidang kemuncak rakan dialog, dengan sesi khas melibatkan Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat, sekali gus mengukuhkan Kepusatan ASEAN dalam seni bina serantau dan global yang berkembang.

Sidang kemuncak fungsian merupakan satu lagi komponen utama dalam kalendar 2025. Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) Kelima memberi tumpuan kepada perdagangan dan kerjasama ekonomi manakala Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) Ketiga membincangkan peralihan tenaga dan kemampanan.

Pada 2025, mesyuarat ASEAN diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara, iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi dan Kuching. Malaysia mengguna pakai pendekatan terpencar bagi memastikan penyertaan dan impak nasional yang lebih meluas.

Kuala Lumpur sebagai ibu negara berperanan sebagai hab utama dengan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan ke-47, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai tumpuan kepengerusian ASEAN Malaysia.

Pulau Langkawi di Kedah menganjurkan kira-kira 50 mesyuarat, manakala Pulau Pinang menghoskan lebih 30 mesyuarat.

Skala dan kepelbagaian mesyuarat itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk memastikan manfaat penganjuran dirasai di seluruh negara.

Pada 1 Jan 2026, Filipina akan mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN seterusnya.

Merumuskan Kepengerusian Malaysia, Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr memuji kepimpinan Perdana Menteri Anwar, menyifatkannya sebagai “agenda yang sangat padat” yang mencerminkan peranan proaktif Kuala Lumpur dalam membimbing blok itu mengharungi cabaran global.

“Beliau (Anwar) berjaya melaksanakan sebahagian besar, jika tidak semua, perancangan yang telah ditetapkannya… Beliau memastikan kami semua sentiasa sibuk,” kata Marcos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan