WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sukan SEA 2025: Empat Emas Bukti Kehebatan Kem Berbasikal Trek - Amarjit

20/12/2025 11:55 AM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 20 Dis (Bernama) -- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyifatkan kejayaan kem berbasikal trek negara meraih empat pingat emas dan satu perak pada Sukan SEA Thailand 2025 di sini, sebagai pencapaian yang amat membanggakan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh berkata pencapaian itu melepasi sasaran awal dua emas, sekali gus membuktikan keupayaan serta potensi skuad pada peringkat serantau.

Amarjit turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan termasuk atlet, jurulatih, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) atas sokongan padu yang diberikan sepanjang persiapan menghadapi temasya sukan dwitahunan itu dan semasa pertandingan berlangsung.

“Saya fikir kem berbasikal trek telah menunjukkan kehebatannya. Sasaran hanya dua emas, kita berjaya meraih empat emas selain satu perak. Ini satu pencapaian membanggakan.

“Tahniah kepada seluruh pasukan termasuk MSN dan ISN atas sokongan yang diberikan. Kejayaan manis diraih kem berbasikal trek ini adalah hasil kerjasama padu semua pihak dalam kem berbasikal negara,” katanya ketika ditemui di sini.

Kem berbasikal trek negara membuktikan keunggulannya apabila memenangi empat daripada lima emas yang dipertandingkan pada edisi kali ini.

Empat emas itu masing-masing disumbangkan Muhammad Ridwan Sahrom dalam acara keirin lelaki, Nur Aisyah Zubir (scratch wanita), trio Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Mohamad Akmal Nazimi Jusena dan Muhammad Ridwan dalam acara pecut berpasukan lelaki, serta kuartet Azim Aliyas, Hafiq Jafri, Yusri Shaari dan New Joe Lau menerusi acara kejar-mengejar berpasukan lelaki.

Selain itu, Malaysia turut menambah koleksi pingat apabila Joe Lau meraih perak dalam acara perlumbaan mata lelaki.

Mengulas persiapan menghadapi Sukan SEA 2027 di Malaysia, Amarjit berkata PKBM akan mula merangka perancangan awal dengan menumpukan kepada penganjuran lebih banyak acara berbasikal trek memandangkan negara memiliki kemudahan velodrom sendiri.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan awal bersama Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) bagi meneliti cadangan venue dan perancangan keseluruhan penganjuran.

“Untuk 2027, sudah tentu kita akan mula membuat persiapan. Kita mahu mengadakan semua acara trek. Di sini hanya lima acara terpilih, tetapi di Malaysia kita mahu buat seperti pada 2017 dengan penganjuran penuh disiplin trek serta disiplin lain.

“Ia masih awal, tetapi kerja mesti bermula sekarang. Apa yang kita lihat di sini, jika momentum ini dapat dikekalkan, kita boleh berjaya,” katanya.

Sebagai rekod, sebanyak 13 acara melibatkan berbasikal trek dipertandingkan pada edisi 2017 dengan Malaysia yang diperkuat pelumba berkelas dunia diketuai Datuk Mohd Azizulhasni Awang berjaya ‘menyapu’ 11 daripada acara berkenaan. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan