WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Kecundang Dalam Acara 3m Papan Anjal

18/12/2025 06:41 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 18 Dis (Bernama) -- Apa sudah jadi dengan skuad terjun negara?

Dominasi Malaysia dalam sukan terjun di peringkat serantau dilihat kian merosot apabila masih gagal menjulang sebarang pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025 di Samut Prakan, hari ini.

Lebih mengecewakan, penguasaan skuad terjun negara dalam satu-satunya acara yang dipertandingkan pada hari kedua di Pusat Akuatik Universiti Assumption, Kampus Suvarnabhumi – iaitu tiga meter (m) papan anjal lelaki – berakhir selepas dua dekad, tanpa seorang pun wakil Malaysia naik podium.

Penampilan sulung Elvis Priestly Clement menyaksikan penerjun dari Sarawak itu menamatkan saingan di tempat keempat dengan 359.80 mata keseluruhan selepas enam pusingan.

Rezeki juga tidak memihak kepada penerjun senior Muhammad Syafiq Puteh apabila gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi sejak edisi 2021 di Vietnam, dengan mengakhiri saingan di tempat kelima selepas mengutip 356.30 mata.

Wakil tuan rumah Chawanwat Juntaphada bukan sahaja merangkul emas dengan 378.30 mata, malah menamatkan kemarau Thailand selama 22 tahun dalam acara tersebut yang kali terakhir dimenangi Suchart Pichi pada edisi 2003 di Vietnam.

Dua penerjun Singapura, Avvir Pac Lun Tham (376.55 mata) dan Max Lee Shen Oon (366.00 mata), masing-masing merangkul perak dan gangsa.

Muhammad Syafiq berkata impak kecederaan pinggang kirinya, yang dialami ketika menjalani kem latihan di Korea Selatan hujung bulan lepas, menjejaskan persembahannya hari ini.

“Saya masih belum 100 peratus fit, tapi saya teruskan juga. Impak kecederaan sedikit mengganggu dan rasa kurang selesa, kurang ‘feel’ untuk melompat hari ini,” katanya kepada pemberita.

Penerjun berusia 30 tahun itu pada masa sama memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kegagalan mempertahankan emas di sini dan bertekad untuk bangkit pada edisi seterusnya pada 2027 di Malaysia.

Sementara itu, Elvis pula berkata peluang beraksi pada Sukan SEA kali ini memberi pengalaman berharga dan berharap dapat memperbaiki prestasinya pada masa depan.

Semalam, kem terjun negara memulakan kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan meraih pingat gangsa menerusi acara 1m papan anjal lelaki oleh Yong Rui Jie.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan