WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak Diteruskan Melangkaui 2026

18/12/2025 05:24 PM

KUCHING, 18 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak komited untuk meneruskan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) melangkaui 2026. 

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan sebanyak RM250 juta telah diperuntukkan untuk pelaksanaan FTES pada tahun depan. 

 “Inisiatif FTES bukan hanya untuk 2026, ia akan berkekalkan pada masa depan. Tiap-tiap tahun kita akan beri. Untuk meneruskannya kita mesti ada duit (dan) ini tugas kepada pemimpin untuk mencari sumber (kewangan) dan kami akan melakukan tugasan ini. 

“Kami tidak mahu ibu bapa Sarawak berasa bimbang tentang pendidikan tinggi anak mereka,” katanya semasa melancarkan inisiatif FTES di sini hari ini. 

Abang Johari juga yakin dengan kemampuan kerajaan negeri untuk mengekalkan pelaksanaan FTES.

“Pendidikan tinggi telah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri tetapi saya tidak bimbang. Saya boleh beri jaminan selagi kita mempunyai tadbir urus yang baik dan pemimpin ikhlas menguruskan negeri, kita boleh meneruskan program ini,” katanya. 

Pada 1 Dis, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata sebanyak 64 kursus telah diluluskan di bawah FTES menerusi empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak iaitu Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS. 

FTES bukan hanya menampung yuran pengajian tetapi juga menyediakan elaun bulanan kepada mereka yang layak untuk membantu perbelanjaan keperluan asas sepanjang tempoh pengajian. 

Skim itu menumpukan kepada program ijazah sarjana muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), perubatan, undang-undang, perakaunan, kewangan dan psikologi selaras dengan keperluan pembangunan bakat di Sarawak. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan