KUCHING, 17 Dis (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas pelbagai barangan tidak bercukai bernilai RM9.9 juta menerusi Op Taring Alpha, Op Taring Bravo dan Op Taring Batas yang dijalankan di seluruh negeri ini dari 26 Nov lalu hingga semalam.
Komander Briged Sarawak SAC Lim Bak Phai berkata sepanjang tempoh itu, seramai 58 individu berjaya ditahan melibatkan lelaki dan wanita warga tempatan serta warga asing berusia antara 16 hingga 74 tahun.
Beliau berkata rampasan terbesar pada 26 Nov di Miri melibatkan serbuan serentak ke atas enam premis, dengan nilai rampasan berjumlah RM2.5 juta.
“Dalam operasi berkenaan, polis merampas 4,909 karton rokok, 12,586 liter minuman keras, serta dua buah kenderaan dan menahan empat lelaki serta dua wanita warga tempatan yang disyaki menjalankan aktiviti penjualan barangan tidak bercukai.
“Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Lim berkata rampasan kedua terbesar adalah pada 5 Dis, dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM1.6 juta.
“Kita juga berjaya merampas 3,644 karton pelbagai jenis rokok, 1,061.4 liter pelbagai jenis minuman keras dan sejumlah mercun pelbagai jenis. Dua kenderaan juga dirampas hasil serbuan ke atas tujuh premis di seluruh Sarawak,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial