WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Calon SPM Antara Mangsa Banjir Dipindahkan Ke PPS Di Mersing

17/12/2025 04:06 PM

Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 17 Dis (Bernama) -- Hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi mengakibatkan banjir melanda daerah ini, menyaksikan ratusan penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).  

Antara mangsa yang terpaksa berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan Pusat Air Tawar di sini, ialah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Mohamad Shafiq Amirul Shafri selepas kediamannya di Kampung Air Tawar dinaiki air, kira-kira 3 pagi tadi. 

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata mereka menerima makluman daripada ketua kampung yang meminta mereka sekeluarga segera berpindah. 

"Ini pengalaman pertama kami berpindah ke PPS, tiada sebarang persediaan dibuat kerana tidak pernah melalui situasi sedemikian. Beberapa barangan termasuk sofa yang baru dibeli turut rosak akibat banjir," katanya ketika ditemui Bernama di PPS berkenaan hari ini. 

Dia yang akan menduduki kertas terakhir SPM bagi mata pelajaran Sains Komputer pada esok berkata  persiapannya untuk menduduki peperiksaan sedikit terjejas.  

"Subjek itu agak mencabar, namun saya tetap akan berusaha lakukan yang terbaik selain bersyukur kerana peperiksaan hampir tamat," katanya sambil menambah bahawa dokumen rasmi dan barangan penting sempat diselamatkan. 

Mohamad Shafiq Amirul turut berkongsi detik cemas yang dihadapi mereka sekeluarga apabila terdapat haiwan berbisa antaranya ular dan lipan ketika bersiap untuk berpindah ke PPS.

Seorang lagi mangsa, Zalina Md Ali, 54, yang berkerusi roda dan lumpuh separuh badan, antara yang terawal dipindahkan ke PPS sama selepas rumahnya dinaiki air, kira-kira 2 pagi.  

Suri rumah itu dipindahkan bersama suaminya, Ibrahim Mohd Lazim, 65, serta tiga cucu berusia lapan hingga 13 tahun, dengan operasi pemindahan melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

" … Dengan keadaan kesihatan saya yang sukar untuk bergerak, saya bersyukur kerana anggota keselamatan membantu kami berpindah dengan selamat,” katanya. 

Zalina berkata segala keperluan asas termasuk makanan dan minuman disediakan dengan baik, serta petugas membantu untuk memastikan kebajikan mangsa.  

Sementara itu, seorang wanita warga emas yang mengalami masalah penglihatan kabur, dipindahkan ke PPS pada 3.30 pagi selepas air naik mendadak di bahagian belakang rumahnya yang berhampiran sungai dan sawah.

Umi Kalsom yang berasal dari Kulim, Kedah dan berpindah ke kawasan berkenaan sejak 2000 berkata paras air meningkat dengan pantas terutamanya ketika air pasang besar dan hujan lebat. 

"Proses pemindahan dibantu oleh ketua kampung menggunakan kenderaan pacuan empat roda, manakala menantu, Siti Noor Yusoff, 34, pula membantu pergerakan saya, " katanya.

Setakat 2 petang tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan sebanyak 204 orang daripada 56 keluarga berlindung di dua PPS, iaitu SK Pusat Air Tawar dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chiao Ching.  

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan