JAKARTA, 16 Dis (Bernama-ANTARA) -- Kerajaan Indonesia menggerakkan sumber negara secara besar-besaran bagi menangani kesan bencana di tiga wilayah di Sumatra, kata Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya pada Selasa.
“Penggerakan sumber secara besar-besaran ini mencerminkan keupayaan Indonesia sebagai sebuah negara yang kuat serta kebolehannya menangani bencana dengan kekuatan sendiri,” kata Wijaya kepada ANTARA.
Bercakap selepas mesyuarat pleno Kabinet di Istana Negara pada 15 Disember, Wijaya berkata Presiden Prabowo Subianto menggariskan tujuh langkah utama bagi tindak balas bencana di Aceh, Sumatra Utara dan Sumatra Barat.
Pertama, kerajaan akan segera membina penempatan sementara dan perumahan kekal untuk komuniti terjejas. Pembinaan 2,000 unit rumah bermula pada Ahad, katanya sambil memetik kenyataan Presiden.
Kedua, Prabowo berkata pembiayaan untuk tindak balas bencana dijamin melalui belanjawan negara.
Ketiga, kerajaan pusat menyalurkan dana operasi secara langsung kepada kerajaan wilayah yang terjejas, berasingan daripada peruntukan pemulihan bencana.
Semua gabenor wilayah terjejas masing-masing menerima Rp20 bilion (kira-kira US$1.2 juta), manakala ketua wilayah di 52 daerah dan bandar yang terjejas masing-masing menerima Rp4 bilion.
“Tiga hari selepas arahan saya, dana itu telah sampai ke semua daerah,” Wijaya memetik Prabowo sebagai berkata.
Keempat, kira-kira 1,000 unit jentera berat, termasuk trak, jengkaut dan lori tangki air bersih dikerahkan ke kawasan terjejas bencana.
Peralatan tambahan dan bekalan air turut dihantar pada Ahad bagi menyokong ketersediaan air bersih untuk komuniti terjejas.
Kelima, sebanyak 50 jambatan bailey sedang dibina, dengan tujuh daripadanya sudah siap.
Keenam, kira-kira 50,000 anggota tentera dan polis dikerahkan bagi membantu mangsa pemindahan di kawasan terjejas.
Ketujuh, sebanyak 50 helikopter dan beberapa pesawat pengangkut digerakkan untuk mengagihkan logistik melalui udara ke kawasan terjejas.
--BERNAMA-ANTARA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial