WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Noraini Ahmad Teruskan Misi Pacu Sektor Perladangan, Komoditi Lebih Mampan

16/12/2025 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Pelantikan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerajui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), dilihat bakal meneruskan misi memacu pertumbuhan sektor agrikomoditi negara ke arah lebih mampan.

Beliau juga tidak asing dengan sektor agrikomoditi apabila pernah menjadi Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) pada Mac 2023 sehingga Januari 2024.

Noraini, 58, yang sebelum ini memegang portfolio sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menggantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Selain itu, Noraini juga pernah menggalas tugas sebagai Menteri Pendidikan Tinggi dari Mac 2020 sehingga Oktober 2022 serta Timbalan Menteri Sumber Manusia dari Mac 2008 hingga April 2009.

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Analisis Kuantitatif dan Kewangan) Universiti Saskatchewan, Saskatoon, Kanada dan seterusnya Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak.

Pencapaian akademiknya diteruskan dengan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengurusan Pembangunan Universiti Utara Malaysia pada 2016.

Dalam arena politik, Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor itu merupakan Ketua Pergerakan Wanita UMNO sejak Jun 2018 dan penyandang kerusi Parlimen berkenaan untuk empat penggal berturut-turut dari 2008 hingga kini.

Beliau juga merupakan wanita pertama dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dari April 2019 sehingga 10 Mac 2020.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan