WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hannah Mahu Atlet Kekal Fokus Tepati Sasaran 200 Pingat Sukan SEA Thailand 2025

15/12/2025 11:58 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

BANGKOK, 15 Dis (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mahu atlet negara terus mengekalkan fokus bagi mencapai sasaran membawa pulang 200 pingat secara keseluruhan pada Sukan SEA Thailand 2025 yang sedang berlangsung ketika ini.

Selepas enam hari temasya dwitahunan itu berlangsung, Hannah berkata kontinjen negara setakat ini telah mengumpul 113 pingat, iaitu lebih separuh daripada sasaran ditetapkan sebelum Sukan SEA Thailand 2025 melabuhkan tirainya secara rasmi, Sabtu ini.

Hannah turut menyatakan kegembiraannya apabila terdapat atlet yang tidak disasarkan memenangi pingat emas berjaya mencipta kejutan dengan mengakhiri saingan di kedudukan teratas podium di Thailand.

“Semua atlet kita mempunyai KPI (petunjuk prestasi utama) masing-masing. Seperti yang telah dibuktikan dalam beberapa hari ini, ramai atlet yang walaupun tidak disasarkan untuk memenangi emas, akhirnya berjaya meraih emas.

“Ini menunjukkan dalam pemikiran atlet kita, setiap individu mempunyai KPI sendiri. Tidak benar dakwaan sesetengah pihak bahawa tanpa sasaran emas, atlet kita tidak mampu mencapainya. Atlet kita matang dan setiap mereka yang berlatih sememangnya mengimpikan emas.

“Oleh sebab itu, seperti yang saya nyatakan, walaupun sasaran tidak diumumkan kepada umum, semua atlet sedia maklum akan KPI masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini.

Malaysia ketika ini berada di kedudukan kelima carta pungutan pingat dengan 20 emas, 23 perak dan 70 gangsa, di belakang pendahulu dan tuan rumah Thailand yang jauh mendahului dengan 132 emas, 78 perak dan 47 gangsa.

Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini, melibatkan dua wilayah utama iaitu Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan