WILAYAH - SABAH > BERITA

Penghuni Rumah Terjun Laut Selamatkan Diri Dalam Kebakaran Di Tawau

14/12/2025 10:40 PM

TAWAU, 14 Dis (Bernama) -- Beberapa penghuni rumah atas air di Kampung Sri Aman di sini terpaksa terjun ke laut untuk menyelamatkan diri selepas kediaman serta jambatan musnah dalam kebakaran yang berlaku semalam.

Mangsa Liny Daurong, 58, berkata ketika kejadian dia dan suaminya yang menghidap penyakit kronik sedang tidur dan hanya tersedar apabila terdengar jeritan anak lelakinya yang pulang dari kerja memberitahu berlaku kebakaran di rumah mereka.

“Anak saya terus mengangkat bapanya keluar rumah kerana suami tidak boleh berjalan dan bercakap. Saya pula sempat mengambil dokumen penting dan ikut anak yang menggendong suami hingga ke daratan sebelum saya dan anak berpatah balik ke rumah kerana mahu menyelamatkan barang lain.

"Masa itu saya nampak api sudah besar dan banyak rumah terbakar, api merebak dengan cepat hingga jambatan ke laluan rumah turut musnah menyebabkan saya terpaksa terjun ke laut untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ni.

Liny juga sempat menjerit mengarahkan anaknya supaya membuang semua barangan mereka ke laut yang ketika itu air paras dada sambil berdoa semoga selamat.

Dalam pada itu, Liny berharap kerajaan membenarkan mangsa kebakaran membina semula rumah di tapak asal dan menyalurkan bantuan bagi membina rumah.

Seorang lagi mangsa, Janing Jamalang, 57, berkata ketika kejadian dia sedang tidur dan dikejutkan suaminya untuk keluar menyelamatkan diri tanpa sempat membawa apa-apa barang termasuk dokumen penting.

“Keadaan kelam-kabut dan cucu saya yang baru berusia sebulan dimasukkan ke dalam baju ibunya sebelum berlari menyelamatkan diri.

"Saya nampak ada yang terjun ke laut dan banyak juga yang sudah berada di perahu ketika api  menjulang tinggi. Saya bersyukur keluarga semua selamat meskipun tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat  Tawau Nurul Fadhilah Abdul Hamid berkata sebuah pusat pemindahan sementara diaktifkan di dewan serba guna Kompleks Sukan Tawau bagi menempatkan lebih 200 mangsa kebakaran.

Semalam, sebanyak 30 rumah atas air separuh kekal musnah dalam kebakaran di Lorong Jade 4, Kampung Sri Aman, Jalan Apas, dalam kejadian yang berlaku kira-kira 11.23 malam.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan