WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pemilihan PKR, PRN Sabah Antara Tumpuan Politik Negara Sepanjang 2025

14/12/2025 10:20 AM

Oleh Muhammad Faiz Baharin dan Ahmad Erwan Othman

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Landskap politik negara yang stabil sepanjang tahun ketiga  pentadbiran Kerajaan MADANI tahun ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk merangka pelbagai dasar yang lebih baik dan prorakyat.

Seperti tahun lepas, politik negara kekal ‘tiada gelora’ dan hanya terdapat beberapa episod politik tanah air yang mencuri tumpuan umum.

Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah antara perkara yang paling mencuri perhatian pada tahun ini.

Kemenangan luar jangka ‘Puteri Reformasi’ Nurul Izzah Anwar pada pemilihan parti sebagai Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2025-2028, sekali gus melakar sejarah baharu dalam perjalanan politiknya telah mencetuskan sedikit ketegangan dalaman parti berkenaan.

Kejayaan Nurul Izzah merampas jawatan itu daripada pesaing tunggal yang juga penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli memperlihatkan keyakinan akar umbi terhadap peranan dan idealisme yang dibawa beliau sejak penubuhan PKR hampir tiga dekad lepas.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menolak dakwaan nepotisme susulan pemilihan anaknya sebagai timbalan presiden yang baharu dan menegaskan pelantikan itu dibuat melalui proses demokrasi serta mendapat sokongan terbuka ahli parti.

Pasca pemilihan juga menyaksikan Rafizi yang ketika itu Menteri Ekonomi serta Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam meletak jawatan daripada Kabinet susulan kekalahan dalam pemilihan parti.

Bagi PRN Sabah ke-17 yang diadakan pada 29 Nov lepas, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membentuk kerajaan selepas memperoleh 29 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.

GRS membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh satu kerusi, Barisan Nasional (BN - 6), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO - 3) serta empat wakil rakyat Bebas.

Sementara itu, parti yang tidak bersama kerajaan negeri iaitu Parti Warisan (Warisan) pula mendapat 25 kerusi, Bebas (seorang), Parti Solidariti Tanah Airku atau STAR (dua) manakala Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing satu kerusi.

Tahun 2025 juga menyaksikan PRK DUN Ayer Kuning menjadi satu-satunya pilihan raya kecil yang diadakan berbanding empat PRK tahun lepas.

Ia diadakan pada 26 April lepas susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, akibat serangan jantung pada 22 Feb.

PRK itu yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru, dimenangi calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir dengan majoriti 5,006 undi setelah meraih 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).

Selain itu, episod politik negara juga digegarkan dengan langkah bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang keluar daripada UMNO pada 30 Mei dan menyertai PKR pada Julai lepas.

Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick juga mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 8 Nov, dan keputusan itu disusuli dengan langkah drastik parti yang sebelum ini bersama dalam gabungan PH bertindak keluar daripada gabungan itu pada 10 Nov lepas.

Pentas politik negara juga melalui saat duka dengan kehilangan beberapa tokoh politik yang banyak berjasa kepada pembangunan dan pembentukan Malaysia.

Pada 14 April lepas, negara dikejutkan dengan berita pemergian Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan pada usia 85 tahun ketika mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Jenazah negarawan yang lebih mesra disapa sebagai Pak Lah itu diberi penghormatan terakhir pada Istiadat Pengebumian Negara dan selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara pada 15 April.

Malaysia turut kehilangan figura politik terkenal iaitu Presiden MIC dan bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel yang meninggal dunia pada usia 76 tahun di Hospital Kuala Lumpur pada 17 Jun.

Tidak terhenti di situ, negara sekali lagi dikejutkan dengan berita kematian Pengerusi BN Sabah yang juga penyandang kerusi DUN Lamag Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Dis lepas, enam hari selepas PRN Sabah berakhir.

Bung Moktar, 66, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan Ahli Parlimen Kinabatangan meninggal dunia pada 1.46 pagi selepas dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Suhu politik tanah air juga dihangatkan dengan pergolakan isu dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga membawa kepada pemecatan keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan selain menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal, berikutan kesalahan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Bersatu turut memecat empat ketua bahagian iaitu Azrudin Ma Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

Sementara itu, Muktamar PAS ke-71 yang berlangsung di Kedah pada 16 Sept pula menyaksikan kesemua jawatan tertinggi mengekalkan status quo dengan parti kekal diterajui Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden bagi penggal 2025-2027.

Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan berlangsung pada 26 Nov terpaksa ditunda bagi memberi tumpuan kepada PRN Sabah, dan 14 hingga 17 Jan depan dipilih sebagai tarikh baharu perhimpunan.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan